My Add

Thursday 11 October 2012

Lebih 400 mohon bayar pinjaman PTPTN sekali gus

KUALA LUMPUR, RABU,  10 Oktober, 2012: Seramai 424 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setakat ini memilih untuk melunaskan hutang pinjaman mereka sepenuhnya berikutan tawaran rebat 20 peratus diumumkan pada Belanjawan 2013 baru-baru ini.

Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said berkata bilangan pemohon itu membabitkan pinjaman berjumlah RM4.6 juta.

"Sejak pengumuman itu, PTPTN telah meluluskan 179 permohonan membabitkan RM1.7 juta dengan jumlah diskaun diluluskan sebanyak RM325,809.

"Sehingga hari ini, PTPTN menerima bayaran (daripada peminjam yang memohon melalui tawaran rebat 20 peratus) RM1.303 juta dengan jumlah diskaun RM325,000," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2013, Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Okt 2012, diskaun 10 peratus setahun diberikan.

Ismail yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau berkata diskaun 20 peratus itu juga boleh dinikmati peminjam yang telah disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.

Menurutnya, dengan pengumuman diskaun itu, kadar bayaran balik pinjaman PTPTN akan mencecah 70 peratus.

"Bilangan peminjam yang membuat bayaran balik sekarang adalah 49.01 peratus," katanya.

Beliau menarik perhatian 132,801 peminjam langsung tidak mengendahkan notis yang dihantar PTPTN, dan ini melibatkan pinjaman RM2.11 billion. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment