My Add

Wednesday 17 October 2012

Loji wax baharu bertaraf dunia

 *IDRIS Jala (dua dari kanan) melawat loji baharu Shell MDS (Malaysia) di
Tanjung Kidurong, semalam. - BERNAMA
Oleh FAIRUS KASSIM
BINTULU, SELASA, 16 Oktober, 2012: Shell MDS (M) Sdn. Bhd. (SMDS) hari ini melangkah setapak lagi dalam industri pembuatan wax antarabangsa dengan melancarkan loji baharu bernilai AS$100 juta (RM306 juta) di kompleks gas-ke-cecair (GTL) di Tanjung Kidurong di sini.

Pengarah Urusannya, Ate Visser berkata, pengembangan operasi kompleks GTL berkenaan telah meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 14,700 tong sehari untuk produk bersih GTL dengan GTL pepejal menyumbang sebahagian besar daripadanya.

“Loji baharu ini telah meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak sekali ganda berbanding sebelum ini dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 150 juta tan setahun.

“Ketika ini, kapasiti pengeluaran wax granula telah mencapai tahap 100 peratus operasi, manakala wax slab sudah mencapai 80 peratus daripada tahap sasaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran loji baharu berkenaan yang telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Yang turut hadir Pengerusi Shell Malaysia, Iain Lo.

Projek yang siap pada November tahun lalu ini merupakan sebahagian daripada pelan pelaburan sebanyak RM5.1 bilion oleh Shell di Malaysia bagi mengembangkan operasinya termasuk projek pembinaan Unit Pemprosesan Diesel di Port Dickson dan pembangunan laut dalam di Gumusut-Kakap yang terletak di perairan Sarawak dan Sabah.

Loji GTL di Bintulu merupakan loji yang pertama di dunia yang menggunakan gas asli daripada perairan Sarawak untuk menghasilkan wax, minyak pelincir penggerudian, bahan api kimia dan minyak gred tinggi.

Visser berkata, Shell telah menetapkan visi untuk menjadi peneraju dalam industri GTL dunia dengan Bintulu menjadi hab pertama membangunkan produk berkenaan di dunia .

“Produk yang dihasilkan sangat bermutu tinggi dan hampir 95 peratus daripadanya dieksport ke lebih 50 negara di seluruh dunia dengan menggunakan jenama GTL Sarawax," jelasnya.

Sementara itu, Lo berkata, produk GTL mempunyai ciri-ciri yang unik, contohnya gasoil dan kerosin GTL tidak mempunyai sulfur serta bau an ini sekali gus dapat mengurangkan kos operasi kepada syarikat pembuatan.

Loji GTL di Bintulu adalah hasil usahasama antara Shell, Mitsubishi, Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment