My Add

Wednesday 17 October 2012

PNB sasar 500,000 akaun ASNB

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Oktober, 2012: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengunjurkan sejumlah 500,000 pemegang akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) yang baharu sehingga hujung tahun ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, sepanjang Januari hingga kini, terdapat 465,000 pemegang akaun ASNB.

"Jumlah pemegang akaun ASNB sehingga kini adalah lebih daripada jangkaan kami.

"Sehingga 30 September, sejumlah 150.68 bilion unit dana ASNB telah dilanggan oleh 11.14 juta pemegang unit," katanya.

ASNB kini mempunyai empat saluran pelaburan internet yang dimulakan sejak 2009 menerusi Maybank2u, diikuti CIMBclicks pada 2010, AffinOnline dan RHBNow, masing-masing pada 2011 dan 2012.

"Pada tahun pertama khidmat online dilancarkan pada 2009, 40,747 transaksi direkodkan, meningkat kepada 92,416 transaksi pada tahun berikutnya.

"Pada 2011, sejumlah 164,287 transaksi direkodkan, manakala bagi tahun ini, Januari sehingga September, sebanyak 192,135 transaksi dicatatkan," katanya.

"PNB mengunjurkan lebih daripada 200,000 transaksi akan dicatatkan sehingga hujung tahun ini," katanya pada majlis penyampaian hadiah Kempen "Labur Oh Labur(LOL)" di sini hari ini.

"Atas sambutan yang menggalakkan, ASNB telah bersetuju melanjutkan Kempen LOL bagi tempoh tiga bulan lagi bermula Oktober hingga Disember 2012," katanya.

Seramai 27 pemenang bagi bulan Julai dan 31 pemenang bagi bulan Ogos menerima hadiah masing-masing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment