My Add

Thursday 4 October 2012

Lupus al-Quran di pusat pelupusan diiktiraf - Mufti

KUANTAN, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman menasihatkan umat Islam di negara ini agar menggunakan perkhidmatan pusat pelupusan al-Quran yang diiktiraf pihak berkuasa bagi melupuskan kitab suci itu.

Beliau berkata ini bagi memastikan proses pelupusan dilaksana mengikut syariat Islam.

Kaedah terbaik pelupusan ialah menerusi pembakaran dan usaha pelupusan melalui kaedah pembakaran ini sudah dimulakan sejak zaman Saidina Uthman lagi dan diteruskan sehingga kini, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu melaksanakan proses melupuskan abu al-Quran seberat tiga tan yang dibuang kira-kira tujuh batu nautika dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tajung Gelang dekat sini.

Abu terbabit dibawa ke lokasi pelupusan oleh kapal TLDM KD Pahang dan program itu merupakan yang pertama di negeri ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata proses pelupusan perlu dilakukan sebaik mungkin bagi menjaga kesucian al-Quran.

"Abu al-Quran yang dilupuskan hari ini membabitkan sejumlah teks serta kitab lama yang sudah rosak serta mempunyai kesilapan percetakan dan tidak boleh dibaca yang kemudian dikumpulkan dari seluruh negara oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Beliau berkata proses pembakaran dilakukan oleh pihak Percetakan Soufi di Cheras, Selangor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment