My Add

Thursday 18 October 2012

Majlis korban KP1M di Syria

Oleh AZMAN MD. NOOR
BALING, RABU, 17 Oktober, 2012: Misi Bantuan Kemanusiaan ke Syria yang dianjurkan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) akan mengadakan program Korban Perdana di negara itu pada Hari Raya Aidiladha melibatkan lebih 191 ekor kambing dan kibas.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada rancangan untuk membantu hampir 80,000 rakyat Syria yang berada di pusat penempatan pelarian negara itu.

"Seramai 56 orang kumpulan pertama sukarelawan KPIM akan berangkat ke Syira pada Jumaat ini atas tujuan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan cek elaun kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.

Abdul Azeez berkata, selain bantuan makanan dan peralatan untuk pelarian, pihaknya akan mengagihkan selimut khas yang dibawa dari New Delhi, India kepada rakyat Syria.

Beliau yang baharu pulang daripada Misi Kemanusiaan di Myanmar berasa gembira kerana terus diberi kepercayaan mengetuai misi ke Syria pula.

Katanya, semua sukarelawan terbabit akan berada di bumi Syria dan memasukinya melalui Jordan selama 13 hari dari 19 hingga 30 Oktober ini.

Abdul Azeez berkata, misi yang turut membawa nama Malaysia itu amat penting dan mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Abdul Azeez yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling memberitahu, sebanyak lima ekor kerbau akan dikorbankan pada Aidiladha di hadapan pejabat Penyelaras Parlimen Baling. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment