My Add

Saturday 6 October 2012

Malaysia negara dirahmati Allah

*NAJIB Tun Razak tertarik melihat model pakaian dan senjata polis bantuan era tahun 60-an selepas merasmikan Ekspo Malaysiaku di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Nor Mohamed Yakcop (kiri). - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Oktober, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kebijaksanaan kerajaan Barisan Nasional (BN) membuat keputusan yang tepat dan melangkaui zaman bukan sahaja membolehkan Malaysia muncul sebagai sebuah negara berjaya tetapi dirahmati Allah SWT.

Perdana Menteri berkata, cerita kejayaan Malaysia bertambah indah selepas 55 tahun mencapai kemerdekaan apabila kebolehan kerajaan membuat keputusan yang tepat itu didokong pula perkongsian pintar antara kepimpinan politik dengan penjawat awam.

Katanya, kedua-dua asas penting itu dapat dilaksanakan kerana kerajaan mempunyai kepimpinan politik yang kuat hasil sokongan rakyat dan keyakinan berterusan kepada BN perlu diterjemahkan secara berpanjangan bagi memastikan segala sasaran negara tercapai.

"Kita kini berada pada fasa paling mencabar dan fasa terakhir sebelum impian untuk menyaksikan Malaysia muncul sebuah negara maju berpendapatan tinggi tercapai. Kita mahu menjelangnya fajar pada 2020, Malaysia dimartabatkan sebagai negara maju.

"Strategi kita sudah kena pada tempatnya, sasaran kita juga jelas tetapi untuk mencapai impian tersebut semua pihak perlu bekerja keras dan sokongan berterusan mesti diberikan kepada kerajaan pada hari ini," katanya semasa berucap merasmikan Ekspo Malaysiaku di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk SK Devamany dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.

Mengupas lanjut mengenai kejayaan Malaysia, Perdana Menteri berkata, negara melalui tiga zaman peralihan iaitu fasa mengisi kemerdekaan melalui pembangunan berteraskan sektor pertanian dan perladangan bagi mengurangkan kadar kemiskinan.

Kemudian beliau memberitahu, Malaysia beralih pula kepada era industri mulai 70-an dan pada fasa inilah kata Najib, penyusunan semula sistem sosial menerusi pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan sehingga berjaya melahirkan ramai golongan pertengahan pada hari ini.

"Kini kita berada pada fasa ketiga yang menuntut pelaksanaan pelan transformasi selepas fasa-fasa pembangunan terdahulu sudah membuahkan hasil sesuai dengan tuntutan pada waktu itu, tetapi pada pusingan terakhir ini kita memerlukan idea serta penyelesaian kreatif.

"Justeru kerajaan pada hari ini bukan sebuah kerajaan yang berada pada takuk lama, sama ada dalam soal tindakan mahu pun pemikiran tetapi kita adalah sebuah kerajaan yang sentiasa akan melakukan transformasi bagi memastikan fasa ketiga ini berjaya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment