My Add

Tuesday 16 October 2012

Manila-KL komited majukan Mindanao

MANILA, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Kuala Lumpur dan Manila hari ini menyatakan komitmen untuk melaksanakan secara bersama-sama usaha meningkatkan pembangunan sosial di wilayah Mindanao, atau selepas proses perdamaian bakal dikenali sebagai Bangsamoro.

Kenyataan bersama Malaysia dan Filipina yang dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Benigno Aquino III di Istana Malacanang di sini pagi ini menjelaskan, kedua-dua ketua kerajaan tersebut memberi sokongan ke atas usaha-usaha itu.

Kedua-dua pemimpin tersebut juga bersetuju supaya usaha itu digerakkan menerusi Jawatankuasa Bersama Filipina-Malaysia mengenai Bantuan untuk Kemajuan Sosioekonomi Muslim Filipina (JCASAMF).

Sehubungan itu, Najib dan Aquino mengarahkan supaya diadakan segera mesyuarat JCASAMF dan seterusnya mengemukakan cadangan pelaksanaan projek-projek kerjasama.

"Ia melibatkan bidang-bidang pendidikan madrasah, industri halal, tabung haji, perbankan Islam, universiti berkembar dan pertukaran pelajar," kata kenyataan itu.

Presiden Aquino III pada mesyuarat dua hala itu menyatakan penghargaannya kepada kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Najib yang menjadi fasilitator kepada perundingan-perundingan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sejak 2001.

Beliau juga menggesa ahli perniagaan Malaysia dan negara lain untuk melabur dalam bidang minyak, getah asli, infrastruktur dan sektor lain di wilayah itu. -

Dalam pada itu, Najib yang tiba bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor diberi sambutan rasmi di pekarangan Istana Malacanang di sini pada pukul 10 pagi ini.

Sejurus selepas itu, Perdana Menteri memeriksa kawalan kehormat oleh pasukan keselamatan Presiden sebelum mengadakan pertemuan empat mana dengan Presiden Aquino III sebelum diikuti menghadiri mesyuarat dua hala yang turut dihadiri menteri-menteri dan pegawai kedua-dua negara.

Malam ini, Najib dan Rosmah menghadiri Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia di sebuah hotel di sini.

Semantara itu, Rosmah mempunyai beberapa jadual berasingan hari ini termasuk melawat Institut Pengurusan Asean (AIM) di sini yang mana beliau adalah alumni institut tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment