My Add

Tuesday 16 October 2012

Muhyiddin ketuai delegasi Malaysia

Oleh Herman Hamid
KUWAIT, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) yang berlangsung selama dua hari di bandar raya ini, bermula esok.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, Muhyiddin yang tiba malam ini akan bersama ketua dan wakil kerajaan 32 negara Asia menghadiri sidang kemuncak tersebut yang julung-julung kali diadakan sejak penubuhan ACD pada 2002.

Katanya, penyertaan negara pada sidang kemuncak ini penting sebagai menunjukkan komitmen terhadap kemajuan dan kejayaan ACD secara menyeluruh dengan setakat ini Malaysia menjadi penggerak utama kepada bidang e-perdagangan dan penubuhan dana infrastruktur.

‘‘Pada sidang kemuncak kali ini pula, dua idea yang dikemukakan negara telah diterima ahli ACD untuk dibawa ke peringkat ketua kerajaan iaitu gerakan kesederhanaan global dan e-pendidikan yang dijayakan menerusi penubuhan Asia e-University.

‘‘Dua perkara ini yang dibincangkan di peringkat pegawai dan menteri semalam bakal diutarakan untuk dibincangkan 32 negara-negara ahli ACD pada sidang kemuncak esok," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri ACD di sini petang semalam.

Hadir sama, Duta Malaysia ke Kuwait, Datuk Adnan Othman.

Sidang Kemuncak ACD Pertama yang berlangsung di Kompleks Istana Bayan di sini esok bakal dirasmikan oleh Amir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah.

Selain Malaysia, ACD turut dianggotai beberapa negara di rantau Teluk serta negara kuasa ekonomi utama rantau ini seperti Jepun, Korea, China dan negara-negara ASEAN manakala Afghanistan merupakan negara terbaru diterima sebagai anggota ACD. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment