My Add

Tuesday 16 October 2012

Permulaan perdamaian mutlak

MANILA, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Malaysia berharap semua pihak terus memperakukan tanggungjawab masing-masing ke arah merealisasikan perjanjian akhir perdamaian di selatan Filipina setelah Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro ditandatangani di Istana Malacanang di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan memeterai perjanjian rangka kerja hari ini bukan bermaksud penamat sebaliknya permulaan kepada pelbagai lagi usaha ke arah perdamaian mutlak dicapai selepas ini.

Menurutnya, sekiranya terdapat ketegangan baru, ia mestilah diselesaikan secara toleransi dan semua pihak hendaklah berpegang kepada prinsip perjanjian rangka kerja tersebut iaitu saling menghormati agama, tiada keganasan dan hak asasi manusia.

"Malaysia berasa bangga kerana dapat memainkan peranan dalam perjanjian hari ini. Ia sesuatu perjalanan yang panjang dan sukar.

"Dokumen yang ditanda tangani hari ini adalah cerminan daripada kepercayaan rakyat terhadap proses perdamaian ini. Kepercayaan sudah diperoleh, ia mesti dilindungi. Hanya yang terlibat dalam konflik ini sahaja yang boleh mengelakkan ia daripada berulang," katanya.

Beliau berucap sebelum menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Dewan Rizal, Istana Malacanang di sini petang ini.

Sejak lebih 10 tahun lalu, Malaysia menjadi pengantara perundingan antara kerajaan Filipina dan kumpulan pemisah MILF dan sebanyak 32 pertemuan telah diadakan sehinggalah perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur pada 2 hingga 7 Oktober lalu.

Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro setebal 13 muka surat itu mengandungi sembilan fasal utama iaitu mengenai penubuhan, undang-undang asas, kuasa kedua-dua pihak, hasil dan pembahagian kekayaan; persempadanan wilayah, hak asasi penduduk, peralihan dan pelaksanaan; normalisasi dan lain-lain.

Mengenai penubuhan entiti baru itu, Bangsamoro akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) dan ia diharap menjadi realiti menjelang 2016, iaitu sebelum penggal pemerintahan Aquino III berakhir. - UTUSAN

Berkaitan kuasa kedua-dua pihak, perjanjian itu antara lain mengakui keperluan mengukuhkan Mahkamah Syariah dan membenarkan Bangsamoro menguatkuasakan sistem keadilan Syariah kepada umat Islam di wilayah itu.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau juga berharap perjanjian rangka kerja yang ditandatangani hari ini akan membawa era baru kesederhanaan yang mana amalan keagamaan dan hak untuk kedamaian di wilayah tersebut tidak lagi berdepan dengan konflik.

Menurutnya, perjanjian itu juga perlu berperanan menggalakkan masyarakat yang berbeza kepercayaan untuk tinggal bersama dan bersatu menerusi nilai-nilai.

"Perjanjian yang kita saksikan hari ini menjadi petanda permulaan era di selatan Filipina. Saya mengucapkan syabas kepada semua pihak yang membantu merealisasikannya. Saya menantikan perjanjian akhir. Selepas empat dekad, keamanan semakin hampir.

"Ini memberi peluang untuk memastikan masyarakat Bangsamoro akan menikmati manfaat daripada keamanan. Semua pihak perlu membuktikan bahawa keamanan dan kesederhanaan dilaksanakan di wilayah itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment