My Add

Thursday 11 October 2012

Nahdatul Ulama seru jihad melawan HIV/AIDS

JAKARTA, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdatul Ulama (NU) menyeru orang ramai supaya berjihad melawan HIV/AIDS kerana menganggap gejala penyakit yang membawa maut itu kini sedang menghantui masyarakat.

Nahdatul Ulama, yang mempunyai anggota berjumlah 70 juta orang di seluruh
Indonesia, merupakan salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang amat berpengaruh di Indonesia.

"Hadis Nabi Muhammad SAW berbunyi, bukan umatku jika tidak peduli terhadap sesama. Atas dasar itu NU terpanggil untuk ikut serta mengatasi penularan HIV/AIDS ini," kata Ketua Umum Pengurus Besar Nahdatul Ulama (PBNU) Prof Dr Said Aqil Siroj kepada media di sini pada Rabu.

Beliau berkata jihad melawan penularan penyakit itu bukan slogan semata-mata bagi pertubuhan itu kerana ia telah mengambil beberapa langkah konkrit seperti membangunkan dua buah pondok pesantren (institusi pendidikan Islam) di Kalimantan Barat dan Jambi, yang dikhaskan untuk menangani penghidap HIV/AIDS.

Usaha seumpama itu sedang dikembangkan lagi, katanya.

Langkah-langkah itu diambil berikutan kes-kes luar biasa di beberapa kawasan
di republik itu seperti yang berlaku di Jakarta Utara di mana seorang guru mengaji didapati menghidap HIV/AIDS walaupun beliau langsung tidak terlibat
dalam kegiatan yang memungkinkan dijangkiti penyakit itu.

Pakar-pakar di Lembaga Kesihatan Nahdatul Ulama (LKNU) juga aktif mendampingi penghidap HIV/AIDS dan memberi penerangan kepada masyarakat tentang risiko dijangkiti penyakit itu.

Terdapat kira-kira 80,000 penghidap HIV/AIDS di Indonesia pada masa ini mengikut data LKNU dan sebahagian besar daripada mereka dipercayai terjangkit kerana pergaulan seks bebas dan kegiatan penyalahgunaan dadah melalui jarum suntikan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment