My Add

Sunday 14 October 2012

Najib lakukan tinjauan mesra di Kudat

KUDAT, AHAD, 14 Oktober,  2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melakukan tinjauan mesra di pekan Kudat yang terletak di utara Sabah, iaitu kira-kira 190 kilometer dari Kota Kinabalu.

Lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum yang teruja melihat pemimpin nombor satu negara itu, membanjiri pekan itu sejak awal pagi bagi meraikan ketibaan Najib yang menaiki helikopter dari Kundasang dengan diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Sebaik tiba, Perdana Menteri terus ke Pekan Kudat dan beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai di situ.

Beliau juga bersarapan pagi bersama-sama ketua-ketua suku kaum dan kapitan China di sebuah kedai kopi paling lama beroperasi di situ.

Pemilik kedai kopi itu, Fong Hon Khiong yang kelihatan gembira dengan kunjungan Najib itu berkata, beliau begitu "gementar" dan teruja Perdana Menteri memilih untuk singgah di kedainya.

"Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi singgah minum di kedai saya," katanya.

Kawasan Kudat yang mempunyai kira-kira 56,000 penduduk dari pelbagai komposisi etnik utama termasuk Rungus yang juga sub-etnik bumiputera Kadazan.
Dalam pada itu, Najib turut melawat masjid lama Kampung Ayer yang terletak di pekan itu.

Dalam ucapan pada pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Sukan Kudat, Najib mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM4 juta bagi membina semula masjid itu dengan kerjasama kerajaan negeri.

Sebelah pagi, Najib melepaskan peserta Larian Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-26 di Taman Negara Kinabalu.

Beliau yang diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun, melepaskan 369 peserta bagi kategori lelaki dan wanita terbuka tepat jam 7 pagi.

Lima minit kemudian, beliau melepaskan 294 peserta kategori lelaki dan wanita veteran.

Insiden mencuit hati apabila seorang peserta lelaki veteran sempat bersalaman dengan Perdana Menteri sejurus selepas beliau melepaskan acara berkenaan.

Ketika ditemui, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin berkata, kesudian perdana menteri melepaskan peserta Climbathon dapat mempromosikan lagi Gunung Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.

Beliau berkata, lebih ramai peserta dijangka menyertai acara larian itu pada tahun depan memandangkan laluan Climbathon ditukar mulai tahun ini untuk memberi peluang pelari menikmati keindahan alam sekitar di sekeliling Gunung Kinabalu.

"Sekarang, paling tinggi laluan di Layang-Layang iaitu pada ketinggian kira-kira 2,670 meter," katanya.
Beliau berkata, suhu di Layang-Layang pada pagi ini kira-kira 15 darjah Celsius dan semua peserta perlu mengambil masa dua jam untuk sampai ke tahap itu.

Terdahulu, Musa menyampaikan cenderamata buku bertajuk 'The Summit of Kinabalu' kepada Perdana Menteri.

Najib kemudian mengadakan tinjauan mesra di pekan Kundasang sebelum mengakhiri lawatan dua hari di Kudat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment