My Add

Sunday 14 October 2012

Kerajaan Persekutuan ada rancangan besar untuk rakyat Sabah: Najib

KUNDASANG, AHAD, 14 Oktober, 2012: Kerajaan Persekutuan mempunyai rancangan besar untuk rakyat Sabah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, seandainya Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru pada pilihan raya akan datang, Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri akan bekerja lebih kuat lagi untuk memajukan lagi negeri Sabah yang begitu besar potensinya.

“Saya senang hati melihat sambutan dan sokongan padu kepada saya dan Barisan Nasional,” katanya ketika menyampaikan berucap sempena program tinjauan mesra di Pekan Kundasang di sini, hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun.

Oleh itu, beliau yang juga Pengerusi BN mengajak rakyat Sabah supaya meneruskan sokongan kepada BN demi kesinambungan pembangunan dan masa depan yang cerah.

Pada pilihan raya lalu, BN Sabah hampir menyapu bersih kesemua 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya kalah kepada DAP di kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan kerusi DUN Sri Tanjung (Tawau).

Menyentuh tinjauan mesra itu, Najib berkata, beliau gembira kerana dapat bersalaman dan beramah mesra dengan penduduk kampung di sini. 

“Saya melihat kawasan Kundasang ini memang Tuhan kurniakan alam semula jadi yang kita boleh manfaatkan … tanam apa saja jenis tanaman terutama jenis tanaman makanan, semua menjadi dan memberi kita pendapatan yang begitu baik sekali.

“Kalau kita berusaha dengan rajin, Insya-Allah kita dapat rezeki yang baik,” katanya.

Sementara itu, seorang penjual sayur dari Kampung Cinta Mata, Wasli Kandung, 74, berkata beliau begitu gembira dapat bertemu pemimpin besar yang beliau sanjungi selama ini.

“Saya tidak pernah melihat Perdana Menteri kita secara bersemuka. Saya hanya nampak melalui televisyen. Semua Perdana Menteri kita bagus tetapi Najib ada sedikit keistimewaan sebab “obintulung” (suka menolong) dan beliau adalah seorang yang benar-benar menepati janji dan tidak suka menabur janji kosong.

“Ada pemimpin yang berjanji tetapi sampai sekarang rakyat menunggu tetapi tiada. Tapi saya lihat Perdana Menteri kita sekarang, apabila dia berjanji, dia benar-benar menunaikan apa yang dia cakap. Misalnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya.

Wasli berkata, tidak terlintas di fikirannya akan menerima BR1M dan bantuan-bantuan rakyat yang lain.

Beliau berharap, dengan kehadiran Perdana Menteri ke Kundasang, salah satu destinasi pelancongan terkenal di Sabah, dan juga terkenal sebagai pengeluar kobis terbesar di Sabah, akan mendapat lebih perhatian oleh kerajaan dan muncul antara kawasan yang maju terutama dalam sektor pertanian.

Mengulas kesanggupan datang ke Pekan Kundasang untuk bertemu Perdana Menteri, beliau berkata, “saya teringin bersalaman dengan Perdana Menteri”.

“Saya lihat beliau begitu jujur untuk memajukan negeri kita dan juga Malaysia dan saya harap Tuhan panjangkan umur beliau dan memerintah sehingga 70 tahun.

“Sebab itu, saya sanggup berjalan kaki sejauh tiga kilometer semata-mata untuk berjumpa dan bersalam dengan Perdana Menteri,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kundasang, Sagin Belinsai, 72, dari Kampong Kouluan berkata beliau amat berbesar hati kerana berpeluang berjumpa dengan Perdana Menteri.

“Selepas saya mengetahui Perdana Menteri akan datang ke Kundasang pagi ini, saya bangun awal, seawal 5.30 pagi semata-mata mahu memastikan saya sampai ke Pekan Kundasang lebih awal untuk berjabat tangan dengan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui di barisan hadapan orang ramai untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri di pekan itu.

Beliau berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk berjumpa dengan pemimpin negara itu kerana bukan mudah untuk berjumpa dengan pemimpin terutama Perdana Menteri.

Sagin berkata, Malaysia beruntung kerana mempunyai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sanggup “turun padang” untuk melihat dan mendengar sendiri permasalahan rakyat seterusnya mencari jalan untuk menolong rakyat "macam kami". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment