My Add

Friday 19 October 2012

Pemilik banglo runtuh berdepan tindakan undang-undang

SHAH ALAM, JUMAAT, 19 Oktober, 2012: Pemilik banglo di Seksyen 7 di sini yang bumbung konkritnya runtuh ketika kerja-kerja pengubahsuaian semalam sehingga mengorbankan seorang pekerja bakal berdepan tindakan undang-undang kerana pengubahsuaian itu tidak mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata pemilik banglo terbabit gagal memohon kelulusan pelan pengubahsuaian mengikut Seksyen 70(1) Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974.

"Kes ini kita akan bawa ke mahkamah kerana ada mangsa yang meninggal dunia. Di bawah peruntukan ini, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM250,000.

"MBSA bertindak tegas dalam hal ini kerana pemilik rumah sepatutnya mengemukakan permohonan untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian yang hanya mengambil tempoh 24 jam untuk diluluskan sekiranya permohonan mengikut piawaian yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang buruh binaan warganegara Indonesia, Totok Mochamd Anthony, maut manakala lima lagi parah selepas sebahagian bumbung konkrit banglo mewah milik seorang ahli perniagaan itu runtuh.

Seorang daripada mangsa putus kaki kanannya sementara 10 lagi pekerja berjaya menyelamatkan diri.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.20 petang ketika kesemua 16 pekerja binaan terbabit sedang melakukan kerja pengubahsuaian di bahagian dalam dan aras atas banglo dua tingkat itu.

Mengulas lanjut, Mohd Jaafar berkata banglo yang terlibat dalam kejadian runtuh itu merupakan antara 26 unit banglo yang dibina dalam lima reka bentuk berlainan atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga jualan RM1.2 juta ketika diiklankan.

Beliau berkata proses kelulusan pelan pembinaan bangunan utama membabitkan dua kali pindaan iaitu pada 11 April 2011 dan 12 Julai 2011, dengan kedua-duanya diluluskan.

"Semua 26 unit banglo ini juga telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan yang dikeluarkan oleh jurutera atau arkitek yang bertanggungjawab pada 29 Dis 2011," katanya.

Beliau berkata daripada 26 unit itu, empat banglo sedang dalam pengubahsuaian tetapi hanya dua sahaja yang memperolehi kelulusan pelan pengubahsuaian sementara dua lagi termasuk banglo yang terlibat dalam runtuhan itu tidak mempunyai kelulusan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment