My Add

Saturday 20 October 2012

Pelan damai MILF: Kritikan pembangkang tidak perlu

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Oktober, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak bergantung kepada kritikan dan pandangan pembangkang dalam usaha mencapai pelan perdamaian sehingga termeterai Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Menurut Perdana Menteri, hal ini demikian kerana usaha tersebut merupakan sumbangan secara konsisten Malaysia sejak 2004.

Malah, jelasnya, rundingan itu telah bermula pada 2001 dan kerajaan telah melantik fasilitator selain menempatkan Tim Pemantau Antarabangsa tiga tahun selepas itu.

"Kita tak bergantung kepada dia (pembangkang). Dia tak nak beri penghargaan mungkin (kerana) tak mahu beri kredit kepada (usaha) kita (kerajaan). Ini (pelan damai) hasil sumbangan Malaysia secara konsisten sejak 2004," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan-akan memperlekeh usaha kerajaan tersebut dan menganggapnya sebagai bukan isu baharu.

Mengulas lanjut, Najib berkata, selain tim pemantau dan fasilitator, banyak lagi penglibatan Malaysia dalam memastikan usaha berkenaan dicapai dan ia diakui Presiden Filipina, Benigno Aquino lll dan Pengerusi MILF, Murad Ebrahim.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, rakyat memberikan respons positif terhadap Bajet 2013 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

Jelasnya, respons yang baik itu turut ditunjukkan oleh ahli-ahli Parlimen.

"Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 belum lagi lulus, yang lulus ketika ini di peringkat dasar. Pembangkang pun tak banyak cerita nampaknya," tambah beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment