My Add

Friday 5 October 2012


Pembangkang utamakan kroni

Oleh SYUKRI SHAARI
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Tindakan menyenarai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar dalam Kabinet bayangan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan amalan kroni, nepotisme serta mengutamakan ahli keluarga dipraktikkan dalam pakatan pembangkang.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, perkara tersebut jelas apabila anak-beranak itu memegang jawatan menteri dalam Kabinet bayangan yang sama, sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan dasar serupa.

Katanya, Anwar sering menuduh UMNO dan BN mengamalkan kronisme tetapi pendedahan Kabinet bayangan itu menunjukkan 'muka sebenar' pemimpin pakatan pembangkang tersebut yang sebenarnya mempraktikkan amalan berkenaan.

"Sebab itu, Anwar sebelum ini tidak mahu mendedahkan Kabinet bayangan walaupun didesak pelbagai pihak. Kita sudah tahu sebabnya, beliau selalu tuduh UMNO dan BN amalkan kronisme, nepotisme tetapi beliau dari awal lagi telah meletakkan nama isteri serta anak sebagai calon menteri.

"Kalau UMNO buat begitu, pasti akan diserang bertubi-tubi oleh mereka, usahkan jawatan menteri, nak berniaga pun tidak boleh. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memerintah 21 tahun, beliau turun baru anaknya bertanding dalam pilihan raya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas senarai Kabinet bayangan pakatan pembangkang yang didedahkan oleh pengendali blog papagomo.com yang didakwa diperoleh daripada sumber dalaman PKR.

Berdasarkan senarai tersebut, Anwar akan menjadi Perdana Menteri, Wan Azizah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala Nurul Izzah pula menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Jawatan penting lain seperti Menteri Pertahanan dipegang oleh Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Menteri Dalam Negeri pula diberikan kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali manakala Menteri Kewangan satu dan dua masing-masing dijawat oleh Ketua Biro Publisiti DAP, Tony Pua serta Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau tidak pasti sejauh mana kebenaran senarai tersebut tetapi percaya maklumat tersebut diperoleh hasil percakapan kumpulan kanan dalam pakatan pembangkang yang telah bocor.

"Apabila saya lihat senarai ini, hati kecil saya berbisik 'Ya Allah, janganlah jadi'," jelasnya.

Mengulas mengenai Azmin yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, Ibrahim memberitahu bahawa jawatan itu tidak sesuai dengan Ahli Parlimen Gombak itu kerana individu yang dilantik memegangnya perlulah orang yang menghormati undang-undang.

"Selain itu, saya hairan bagaimana Rafizi boleh dilantik sebagai Menteri Kewangan kedua dalam Kabinet bayangan ini kerana beliau tidak layak. Sejauh mana kehebatan beliau? Baru dua tahun terlibat dengan politik, bertanding pun tidak pernah, jadi Ahli Parlimen pun tidak, setakat dedahkan mengenai isu projek Fidlot Nasional, itu bukan kelayakannya.

"Mereka juga silap meletakkan Tian Chua sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani kerana beliau wajar dilantik menjadi Menteri Luar dalam Kabinet bayangan pembangkang kerana memudahkannya berhubung dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar untuk menyalurkan dana," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment