Yang perlu menang PRU-13 terlebih dahulu
KOTA BHARU, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Beberapa pemimpin Pas menganggap kabinet bayangan bukanlah perkara yang perlu diberi keutamaan dan perhatian oleh pemimpin pakatan pembangkang ketika ini.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, apa yang lebih penting dan seharusnya menjadi keutamaan pakatan pembangkang adalah memenangi pilihan raya umum akan datang.
Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri meragui kesahihan kabinet bayangan yang disebarkan beberapa blog itu.
Untuk apa kabinet bayangan jika pembangkang belum menang.
Tidak perlu kita buat kabinet bayangan begini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) pun tidak buat, kita tidak pernah dengar kabinet bayangan BN bagi negeri Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor," katanya.
Beliau mengulas pendedahan blog papagomo.com semalam yang menyiarkan senarai kabinet bayangan pakatan pembangkang jika berjaya menumbangkan kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menurut blog itu, dalam senarai yang mempunyai 31 nama tersebut, Parti Keadilan Rakyat (PKR) diberi 13 jawatan menteri, Pas (10) dan DAP (8) manakala satu diperuntukkan kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh berkata, pakatan pembangkang masih berada jauh daripada realiti untuk menyediakan senarai Kabinet bayangan.
Jelasnya, pembahagian kerusi antara pembangkang untuk bertanding pilihan raya umum juga belum lagi muktamad sekali gus menolak keperluan menyediakan barisan Kabinet bayangan tersebut.
Ketika ditanya jika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar dipilih sebagai Perdana Menteri dalam Kabinet berbanding Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau berkata, perkara itu tidak perlu ditimbulkan.
Perkara berhubung siapa nanti yang akan menjadi Perdana Menteri tidak perlu timbul sekarang, kerana apabila tiba masanya kelak, pemimpin yang akan naik adalah pimpinan yang disepakati.
Pada pandangan saya, dakwaan wujudnya senarai itu hanyalah cubaan indoktrinasi dan provokasi UMNO untuk memecah-belahkan perpaduan pakatan pembangkang," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment