My Add

Thursday 4 October 2012

Penerima Anugerah Merdeka 2012 diumum
 *SYED Muhammad Naquib, Augustine Ong
KUALA LUMPUR, rabu, 03 OktOBER, 2012: Tokoh cendekiawan negara, Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas diumumkan sebagai salah seorang daripada tiga penerima Anugerah Merdeka 2012.

Syed Muhammad Naquib, 82, menerima anugerah berprestij itu bagi kategori Pencapaian Ilmuwan Terunggul kerana peranannya sebagai seorang pemikir Islam kontemporari selain turut diiktiraf sebagai cendekiawan terkemuka dunia.

Syed Muhammad Naquib telah mencurahkan sumbangan besar dalam sejarah bahasa Melayu moden serta penyelidikan ilmiah dalam bidang Islamisasi dan pendidikan Muslim kontemporari.

Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC) dan masih aktif menyumbang dalam mempertingkatkan pengetahuan dan pemahaman Islam.

Pengumuman para penerima anugerah itu dibuat Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka di KLCC di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Petroliam Nasional Bhd., Tan Sri Mohd. Sidek Hassan serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku penaung anugerah berkenaan akan menyampaikan Anugerah Merdeka itu pada tarikh yang akan diumumkan nanti.

Penerima Anugerah Merdeka 2012 bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi pula diterima tokoh saintis, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Augustine Ong Soon Hock.

Beliau yang juga seorang pendidik diberi pengiktirafan atas sumbangan cemerlang dalam penyelidikan dan pembangunan kimia serta teknologi minyak kelapa sawit.

Soon Hock juga memainkan peranan besar dalam mempromosi industri minyak sawit tempatan kepada dunia.

Sementara itu, saintis dan ahli ekologi, Dr. Engkik Soepadmo, 76, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Merdeka 2012 bagi kategori Sumbangan Cemerlang Kepada Rakyat Malaysia.

Beliau yang berasal dari Indonesia menjalankan penyelidikan secara khusus dalam kepelbagaian spesies, struktur dan fungsi ekologi hutan hujan tropika yang kompleks di Asia terutama di Malaysia.

Kali pertama menjejak kaki ke Malaysia pada 1968, beliau dilantik sebagai profesor ekologi di Universiti Malaya (UM) dan telah menemukan 56 spesies tumbuhan serta pokok tropika baru dengan enam daripadanya dinamakan sempena nama beliau.

Bagaimanapun pada tahun ini, tiada penerima bagi kategori Pendidikan, Komuniti dan Persekitaran.

Setakat ini, seramai 17 individu dan dua organisasi menjadi penerima Anugerah Merdeka yang diwujudkan sejak 2007.

Setiap kategori menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 berserta trofi dan sijil. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment