My Add

Monday 8 October 2012

Perang terhadap rasuah akan berjaya - TPM
*MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan para delagasi dalam Majlis 
Penutupan Persidangan Pertubuhan Agensi Penguatkuasa Antirasuah A
ntarabangsa Ke-6 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 07 Oktober, 2012: Kerajaan yakin usaha memerangi rasuah di negara ini akan menampakkan kejayaan menerusi inisiatif-inisiatif serta pembaharuan yang telah dan bakal dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga optimis persepsi awam terhadap usaha kerajaan itu akan meningkat khususnya melalui Pelan Integriti Nasional (PIN).

Menurut beliau, kaji selidik oleh Transparency International pada tahun lalu juga menyaksikan 49 peratus rakyat merasakan usaha terbabit berkesan.

''Peratusan itu merupakan satu pencapaian memberangsangkan berbanding 29 peratus yang dicatatkan pada 2009. Selain PIN, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pelajaran telah memulakan usaha memasukkan modul integriti dan pencegahan rasuah di peringkat sekolah.

''Perkara itu mampu memandu anak muda melaksanakan kerja dengan baik di samping mensejahterakan negara. Di samping itu, kerajaan juga mengamalkan ketelusan dan pentadbiran yang baik terutama dalam melaksanakan tender terbuka untuk projek-projek kerajaan dan perolehan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Persidangan Pertubuhan Agensi Penguatkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) Ke-6 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan President IAACA, Profesor Cao Jianming.

Muhyiddin berkata, bagi menggalakkan persekitaran perniagaan yang bebas rasuah, kerajaan akan meningkatkan kerjasama dengan sektor swasta khususnya dalam melaksanakan program antirasuah.

''Perkara itu diyakini mampu menarik perhatian pelabur asing dan domestik ke sini dan menjadikan syarikat-syarikat swasta berkenaan beroperasi dengan standard integriti yang tinggi,'' jelasnya.

Inisiatif-inisiatif lain katanya, termasuk menggubal Akta Pemberi Maklumat 2010, menubuhkan 14 buah Mahkamah Sesyen Khas Rasuah serta penyediaan pangkalan data individu yang didapati bersalah dalam kes rasuah oleh mahkamah.

''Bagi penyediaan pangkalan data itu, walaupun inisiatif tersebut dilihat kecil, pangkalan data berkenaan kini digunakan oleh kedutaan Amerika Syarikat bagi memastikan individu berkenaan tidak diberikan visa untuk ke sana,'' katanya.

Sementara itu, beliau memuji IAACA kerana meluluskan Deklarasi Kuala Lumpur yang mengandungi 27 inisiatif memerangi rasuah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment