My Add

Friday 12 October 2012

Pereka Malaysia, Indonesia pamer 70 rekaan fesyen Islam
 *TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid sambil diiringi Raja Rezza Shah pada Makan Malam Gala Pertunjukan Fesyen Islam (IFF) Ke-23 di Kangar, Perlis, semalam.
KANGAR, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Tujuh pereka fesyen terkenal dari Malaysia dan Indonesia mempamerkan 70 rekaan pada majlis Makan Malam Gala Pertunjukan Fesyen Islam (IFF) Kali Ke-23 di Dewan Bankuet, Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Raja Muda di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perempuan, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Pengasas dan Pengerusi IFF, Datuk Raja Rezza Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Perlis yang buat julung kalinya diberikan penghormatan menjadi tuan rumah penganjuran pertunjukan fesyen busana Muslim bertaraf antarabangsa ini yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang telah diperkenalkan sejak tahun 2006.

Majlis makan malam Gala IFF ini juga bertujuan untuk mengisi tabung kebajikan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) untuk didermakan kepada lapan rumah kebajikan di Perlis.

Pereka dari Malaysia terdiri daripada Datuk Tom Abang Saufi dengan rekaan Grace Kelly of Monaco, Calvin Thoo (Yin Yang), Noraini Shariff dari Jarumas (Enchanting Dream) dan Datuk Radzuan Radiwill (Oriental Charm).

Pereka dari Indonesia terdiri dari Jeny Tjahyawati degan rekaan bertemakan Gracious in Pastel, Dian Pelangi (Blissful Adha) dan Ghea Panggabean (The Journey of Ancient Textile).

Kesemua rekaan ini diperagakan oleh 38 peragawati yang mana 12 daripadanya bertaraf antarabangsa.

Dua pelakon terkenal iaitu Catriona Ross dan Iqram Dinzly pula menjadi pengacara majlis.

Selain itu, penyanyi Rohani Jalil dan Feena AF juga turut menghiburkan kira-kira 320 tetamu yang hadir. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment