My Add

Sunday 14 October 2012

PM saksi perjanjian damai

MANILA, SABTU, 13 Oktober, 2012: Perdana Menteri akan tiba di sini petang esok untuk lawatan rasmi tiga hari termasuk menghadiri upacara menandatangani perjanjian damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang bakal menamatkan konflik lebih 40 tahun di selatan negara ini dan telah meragut lebih 120,000 nyawa.

Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyaksikan upacara itu bersama-sama Presiden Filipina, Benigno Aquino III di Dewan Rizal, Istana Malacanang di sini, petang Isnin ini.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di sini, Zakaria Nasir berkata, perjanjian damai itu sangat besar maknanya bukan sahaja kepada kedua-dua pihak malah Malaysia yang menjadi pengantara dalam mencapai misi tersebut sejak lebih sedekad lalu.

"Perdana Menteri juga akan diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan dalam upacara bersejarah tersebut selain Presiden Aquino III.

"Rakyat Filipina kini menunggu detik bersejarah itu. Kita yakin ia dirasakan kebanyakan orang di sini, ia sesuatu yang diraikan sebenar-benarnya," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Sejak lebih 10 tahun lalu, Malaysia menjadi pengantara perundingan antara kerajaan Filipina dengan kumpulan pemisah MILF dan sebanyak 32 pertemuan telah diadakan sehinggalah perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Oktober lalu.

Perjanjian damai yang akan ditandatangani Isnin ini bakal menyaksikan penubuhan Suruhanjaya Peralihan untuk menggubal draf undang-undang pembentukan wilayah baru Bangsamoro menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).

Pembentukan Bangsamoro akan memberi lebih kuasa ekonomi dan politik termasuk pelaksanaan cukai kepada wilayah majoriti penduduk Islam itu. Ia juga menerima bahagian lebih besar daripada pendapatan sumber asli dan peranan lebih aktif dalam keselamatan dalam negeri

Dalam pada itu, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka tiba di Pangkalan Udara Villamor di sini pukul 4 petang esok. Mereka akan disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Setiausaha Luar Filipina, Albert F. Del Rosario.

Menurut Zakaria, terdahulu pada pagi Isnin, Perdana Menteri akan ke Tugu Rizal di Taman Luneta di sini untuk upacara meletakkan kalungan bunga sebelum sambutan rasmi di pekarangan Istana Malacanang dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Aquino III.

"Ia diikuti mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin dan delegasi yang dijangka menyentuh banyak perkara bagi mengukuhkan hubungan Malaysia dan Filipina," jelasnya.

Mesyuarat itu akan turut disertai Anifah, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Zakaria berkata, Najib dan Aquino III kemudian akan mengeluarkan kenyataan bersama sebelum Perdana Menteri dan delegasi diraikan oleh Presiden Filipina itu dalam satu majlis makan tengah hari.

"Kira-kira pukul 1.30 petang kedua-dua ketua kerajaan ke Dewan Rizal untuk menghadiri upacara menandatangani penjanjian damai tersebut," katanya sambil menambah, ia akan dimulakan dengan kenyataan Penasihat Presiden bagi Proses Perdamaian, Teresita Quintos-Deles diikuti Pengerusi MILF, Al Haj Murad Ebrahim.

Najib kemudian dijadual mengadakan dialog dengan ahli-ahli perniagaan tempatan di sebuah hotel di sini. Beliau selepas itu menghadiri Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia di sebuah hotel lain pada sebelah malamnya. Perdana Menteri dan isteri akan berlepas pulang ke tanah air keesokannya.

Semantara itu, Rosmah mempunyai jadual berasingan Isnin ini termasuk melawat Institut Pengurusan Asean (AIM) di sini yang mana beliau adalah alumni institut tersebut. - MINGGUAN

No comments:

Post a Comment