My Add

Sunday 14 October 2012

Tolak tabur janji melangit
*NAJIB Tun Razak bersalaman dengan para perwakilan semasa hadir dalam Persidangan Perwakilan Kongres India Muslim Malaysia Ke-36 di Dewan Merdeka, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/HAFIZ JOHARI
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, SABTU, 13 Oktober, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan yang memburuk-burukkan Malaysia, menanam bibit kebencian, menyemai budaya ganas serta menawar janji melangit tetapi gagal menunaikannya tidak layak diberi peluang memimpin negara.

Tegas Perdana Menteri, golongan sedemikian harus ditolak pada pilihan raya umum akan datang kerana jika diberi peluang, mereka akan merosakkan segala asas keharmonian, kejayaan, kemakmuran serta pembangunan yang dipupuk Barisan Nasional (BN) sejak 55 tahun lalu.

Katanya, berbeza dengan golongan terbabit, kerajaan BN bukan sahaja telah mempersiap asas yang kukuh kepada negara tetapi bakal menjayakan agenda indah iaitu meletakkan Malaysia muncul negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

"Kita mesti taat dan sanggup mempertahankan Malaysia, bukan macam sesetengah pihak yang memburuk-burukkan nama Malaysia, menanam bibit-bibit kebencian, menggalakkan budaya ganas di jalanan serta menawarkan janji melangit tetapi kemudian tidak menunaikannya.

"Ini bukan orang yang layak memimpin Malaysia. Marilah kita membulatkan hati dan tekad kerana kerajaan memerlukan mandat kuat untuk menjayakan agenda indah ini," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Ke-36, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Kimma, Datuk Syed Ibrahim Kader.

Menurut Najib, agenda indah untuk menjadikan Malaysia negara maju pada tahun 2020 bukan satu impian yang tidak berpaksi di bumi nyata, sebaliknya bersandarkan realiti kerana segala lakaran kemajuan yang dinikmati seluruh rakyat pada hari ini adalah bukti keupayaan BN.

Tambah beliau, sepanjang pemerintahan BN, kerajaan bukan sahaja sentiasa menegakkan keadilan sosial tetapi berusaha membantu setiap golongan memerlukan bagi memastikan kumpulan berkenaan dapat memaksimumkan potensi diri.

"Mungkin ada kelemahan dalam sistem penyampaian dan pelaksanaan kerajaan tapi sama-samalah kita lakukan penambahbaikan kerana janji kerajaan pada rakyat, kita akan lakukan transformasi besar-besaran dalam tempoh tujuh tahun akan datang," katanya. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment