My Add

Monday 15 October 2012

Polis tembak mati anggota kumpulan KK Merah

TEMERLOH, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Polis Temerloh menembak mati seorang daripada empat anggota kumpulan KK Merah, yang disyaki terlibat dalam tujuh kes samun dan satu kes bunuh, ketika berbalas tembakan di kawasan ladang sawit di Sanggang dekat sini, awal semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, sepasukan polis Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang cuba menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan dipandu seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat selepas tol Temerloh menghala Jerantut.

Bagaimanapun, beliau berkata kenderaan yang disyaki dicuri itu terus memecut ke jalan ladang kelapa sawit berkenaan dan terbabas dalam kawasan ladang tersebut.

"Apabila anggota kita menghampiri kenderaan itu, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dari arah dalam kereta tersebut,” katanya kepada pemberita semalam.

Sharifuddin berkata pasukan polis terpaksa membalas tembakan dan pemeriksaan yang dilakukan selepas itu mendapati seorang lelaki mati di bahagian pemandu akibat terkena tembakan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment