My Add

Monday 22 October 2012

Rais: Promosi pornografi tidak wajar

KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Oktober, 2012: Kerajaan tidak akan melayan permohonan atau tuntutan mana-mana pihak yang mahu mempromosikan sebarang bentuk pornografi di negara ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, walaupun negara dan rakyat menuju ke era pemodenan soal pornografi tidak seharusnya digalakkan.

Merujuk kepada permohonan sebuah syarikat media menyiarkan temu bual bersama dua rakyat Malaysia yang memuat naik gambar-gambar pornografi mereka baru-baru ini, tegasnya, perkara itu tidak wajar diberikan penekanan.

"Nilai untuk mempopularkan pornografi, baik secara langsung atau sebaliknya, tidak wajar kita beri penekanan. Walau sejauh mana moden kehidupan kita, soal pornografi kita tak galakkan.

"Saya cenderung menyatakan adalah tidak wajar untuk kita (kerajaan) melayani apa-apa (usaha) yang cuba popularkan pornografi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan dua buah buku mengenai pencipta lagu kebangsaan Singapura, Zubir Said iaitu 'Zubir Said: the Composer of Majulah Singapura' karya Puan Seri Dr. Rohana Zubir dan 'Majulah! the Film Music of Zubir Said' terbitan Muzium Nasional Singapura di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Ong Keng Yong.

Rais mengulas permohonan sebuah syarikat media menyiarkan temu bual bersama dua rakyat Malaysia termasuk seorang daripadanya penuntut sebuah universiti di Singapura yang memuat naik gambar-gambar mereka ketika melakukan hubungan seks di dua buah stesen radio dan televisyen internet milik syarikat berkenaan.

Berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap dua individu berkenaan, Rais berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu laporan-laporan mengenai tindakan individu terbabit secara menyeluruh.

Dalam perkembangan lain, katanya, Malaysia dan Singapura perlu memperkukuh perkongsian dari segi simpanan bahan-bahan bersejarah di arkib masing-masing.

"Ada kecenderungan pihak-pihak berwajib menyimpan rekod tidak begitu tinggi berbanding zaman dahulu seperti surat-menyurat, rekod-rekod perkhidmatan, statistik dan cerita-cerita lisan.

"Tidak lama lagi semuanya akan hilang (jika tidak disimpan dengan baik) kerana cara hidup digital," tegasnya.

Beliau kemudiannya menjelaskan, kementeriannya tidak mempunyai masalah menganjurkan konsert bagi memperingati Zubir Said yang merupakan komposer lagu terkenal suatu ketika dahulu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment