My Add

Thursday 4 October 2012

Rumah PR1MA di tanah kementerian tidak dibangun

SHAH ALAM, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Tanah milik kementerian yang tidak dibangunkan akan dibina dengan rumah mampu milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kabinet pada mesyuarat yang lepas mengarahkan kementerian-kementerian untuk menyenaraikan tanah milik mereka yang tidak dibangunkan bagi tujuan pembinaan rumah itu.

"Macam kementerian saya, kita bina sekolah tapi sesetengah kawasan itu sudah banyak sekolah, ada tapak sekolah yang tak digunakan dan di situ mungkin nak dicadang dibina (rumah mampu milik) maka kita sedia untuk serahkan kepada PR1MA," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog majlis perjumpaan timbalan perdana menteri bersama pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), belia negeri Selangor dan mahasiswa di Universiti Teknologi MARA di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan menentukan kawasan yang akan dibangunkan PR1MA untuk pembinaan rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah bagi memberi peluang golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah yang harganya meningkat tinggi terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Sampaikan mereka yang berpendapatan RM2,000 ke RM3,000 sebulan tidak mampu memiliki rumah seperti itu, sebab itu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kabinet amat sedar hal ini dan mengadakan program rumah mesra rakyat yang ditawarkan pada harga berpatutan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment