Barang kemas bernilai RM100,000 dilarikan
KUANTAN, AHAD, 14 Oktober, 2012: Empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol melarikan barang kemas bernilai RM100,000 dari sebuah kedai emas di Merapoh dekat Kuala Lipis semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kumpulan terbabit dipercayai melepaskan dua das tembakan untuk memecah cermin kaca tempat pameran barang kemas sebelum seorang lagi suspek menghentak cermin itu dengan sebilah kapak.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt. Abdul Razak Hassan berkata, keempat-empat suspek ke kedai berkenaan empat jam sebelum itu dengan berpura-pura menjadi pelanggan.
"Setelah merompak, mereka melarikan diri dengan sebuah Proton Waja yang diletakkan tidak jauh dari premis itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut di samping meminta orang ramai tampil memberi maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis.
Kes diklasifikasi sebagai samun bersenjata. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment