My Add

Saturday 27 October 2012

Sindiket warga Afrika makin serius 
 *PEMANTAUAN pihak berkuasa mendapati kebanyakan sindiket penipuan
dijalankan melalui Internet.

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 26 Oktober, 2012: Sindiket penipuan warga asing khususnya dalam kalangan rakyat Afrika di negara ini menunjukkan peningkatan menggerunkan apabila jumlah kerugian yang direkodkan sepanjang tahun ini mencecah nilai kira-kira RM500 juta.

Lebih mengejutkan, angka tersebut merupakan separuh daripada keseluruhan jumlah kerugian pelbagai jenayah komersial berjumlah RM1.2 bilion setakat Ogos lalu.

Angka tersebut juga menunjukkan perbezaan ketara berbanding kerugian jenayah komersial berjumlah RM917 juta pada 2010 dan RM1.2 bilion pada tahun lalu.

Maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mendedahkan peningkatan sebanyak 40 peratus kes penipuan bersiri warga Afrika dalam masa setahun yang sehingga tarikh sama sudah melebihi 5,000 kes.

Selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi 'lubuk' penipuan warga Afrika, sindiket dilaporkan semakin menjadi-jadi di beberapa negeri lain antara Selangor, Pulau Pinang, Sabah, Negeri Sembilan dan Johor.

Meskipun pendedahan mengenai sindiket tersebut sering dilaporkan media, semakin ramai menjadi mangsa awang hitam yang licik dalam 'pengurusan' sindiket penipuan di negara ini.

Selain menjadikan rakyat negara ini sebagai mangsa, sindiket yang dipercayai mempunyai jaringan antarabangsa itu turut menjadikan negara ini sebagai hab operasi mereka untuk mengumpan mangsa dari luar negara.

Timbalan Pengarah JSJK, Datuk Tajuddin Md. Isa berkata, daripada 1,117 kes penipuan yang direkodkan tahun ini, rakyat Nigeria menjadi penyumbang terbesar kepada jenayah tersebut.

"Seramai 220 warganegara Nigeria ditangkap pada tahun ini berhubung pelbagai jenayah penipuan oleh warga Afrika (African Scam).

"Selebihnya adalah rakyat Ghana, Cameron, Sudan, Tanzania, Somalia, Sierra Leone dan Afrika Selatan," katanya.

Beliau berkata, selain jumlah tangkapan yang meningkat setiap tahun pihaknya mendapati jumlah penipuan turut melibatkan jumlah kerugian yang semakin besar.

"Dulu kita terkejut apabila mendengar penipuan Afrika Scam menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit tetapi sekarang angka jutaan sudah menjadi perkara biasa.

"Walaupun sebahagian besar daripada mereka masih menggunakan modus operandi yang hampir sama, semakin ramai yang menjadi mangsa,'' katanya.

Beliau memberitahu, antara helah penipuan yang paling biasa dilakukan sindiket tersebut ialah melalui kerjasama pelaburan dan jerat cinta. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment