My Add

Thursday 18 October 2012

Sukuk negara RM219.4 bilion

 *SUKUK Projek Lebuhraya Usahasama Bhd. bernilai RM30.6 bilion
merupakansukuk korporat terbesar di dunia. - GAMBAR HIASAN
KUALA LUMPUR,, RABU, 17 Oktober, 2012: Jumlah penerbitan sukuk di Malaysia berjumlah RM219.4 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding RM120.7 bilion dalam tempoh yang sama pada 2011, dengan penerbitan terbesar setakat ini sebanyak RM30.6 bilion oleh Projek Lebuhraya Usahasama Bhd.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC), Zainal Izlan Zainal Abidin berkata, 2012 menyaksikan prestasi menggalakkan bagi pasaran modal Islam dan segmen sukuk bersedia untuk mencatatkan satu lagi tahun yang memberangsangkan dari segi jumlah nilai penerbitan.

"Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. dan IHH Healthcare Bhd., yang secara kolektif meraih hampir RM16 bilion, telah membantu menyokong segmen ekuiti Islam tahun ini.

"Kedua-dua syarikat telah memohon kepada Majlis Penasihat Syariah SC bagi menentukan status pematuhan syariah mereka sebelum penyenaraian masing-masing," kata beliau dalam pembentangan beliau mengenai perkembangan terkini pasaran modal Islam di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2012 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertumbuhan baik pasaran modal Islam berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global, dengan jumlah nilai terbitan sukuk pada AS$93 bilion dalam lapan bulan pertama 2012.

Daripada jumlah ini, Malaysia menyumbang 74 peratus, melebihi jumlah yang dicatatkan bagi keseluruhan 2011.

Dalam segmen ekuiti, permodalan pasaran Indeks Dow Jones Islamic Market World, anggaran kasar saiz ekuiti yang mematuhi syariah di peringkat global berdasarkan kriteria saringan Indeks Syariah dan Metodologi Dow Jones, meningkat kepada AS$17.7 trilion (RM53.1 trilion) pada Ogos 2012, daripada AS$16.5 trilion (RM49.5 trilion) pada akhir 2011.

Zainal Izlan berkata pembangunan pasaran modal Islam Malaysia tahun sebelum ini telah dibantu oleh kehadiran persekitaran yang baik dan ekosistem yang kerap dikaji dan terus dipertingkatkan.

SC terus memainkan peranan penting dalam mengenalpasti dan melaksanakan inisiatif untuk menggalakkan pembangunan selanjutnya pasaran modal Islam, katanya.

"Beberapa inisiatif baru-baru ini telah diperkenalkan selaras dengan strategi pertumbuhan dalam Pelan Induk Pasaran Modal Malaysia 2 (CMP2), termasuk mewujudkan rangka kerja bagi penerbitan bon dan sukuk runcit," kata beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment