My Add

Sunday 21 October 2012

Trend bahasa ringkas SMS pengaruhi pelajar membimbangkan

PAGOH, SABTU, 20 Oktober, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua pihak agar memandang serius trend pengunaan bahasa 'moden' yang ringkas dan singkat oleh golongan pelajar pada masa ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun trend itu fenomena global, namun penggunaannya tidak harus mencemarkan bahasa standard khususnya dalam bidang pendidikan.

"Untuk membolehkan pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan bahasa lain tidak tercemar, guru-guru di sekolah perlu ingatkan pelajar supaya membuat karangan dan jawab soalan dengan menggunakan ejaan standard seperti yang ditetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Kita tahu walaupun daripada segi perhubungan ini fenomena global dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tak boleh panjang untuk jimat dan bahasa ringkas. Daripada segi komunikasi kita faham dan saya harap jangan terpengaruh sangat dan tidak guna singkatan dalam proses pembelajaran," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran diminta mengulas trend golongan pelajar yang banyak menggunakan singkatan dalam komunikasi harian terutamanya dalam SMS yang dihantar.

Muhyiddin ditemui selepas merasmikan Karnival Keusahawanan dan Pendidikan Johor di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi banjir, Timbalan Perdana Menteri berkata, semua jabatan dan agensi yang berkaitan telah diarahkan bersedia menghadapi bencana itu.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi menjangkakan musim tengkujuh tahun ini lebih awal dan meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan dan panduan yang dikeluarkan jawatankuasa banjir di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah diminta bersedia dengan bantuan yang akan diberikan kepada mangsa banjir dan menyimpan stok makanan bagi menghadapi bencana itu.

Terdahulu, dalam ucapannya Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap rakyat dan menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan khususnya kaum bumiputera menjadi peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan telah memperuntukkan dana yang banyak iaitu RM16.1 bilion bagi tempoh 2006 hingga 2012. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment