My Add

Tuesday 23 October 2012

YPPB tawar biasiswa RM20 juta untuk 100 pelajar lepasan UPSR

*RAJA Azura Raja Mahayudin (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Pengetua Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, Rosnani Baba sambil disaksikan Nor Mohamed Yakcop di Banting, Selangor, semalam.
BANTING, ISNIN, 22 Oktober, 2012: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) memperuntukkan biasiswa sebanyak RM20 juta kepada 100 pelajar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini melalui program Peneraju Tunas Geliga bagi membangun dan membentuk pelajar-pelajar berkenaan dalam bidang akademik.

Biasiswa yang terbuka kepada pelajar dari persekitaran mencabar dan luar bandar itu memperuntukkan tajaan kepada 10 buah sekolah berprestasi tinggi terpilih dengan jaminan wang saku sepanjang lima tahun pengajian di peringkat sekolah menengah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, selain tumpuan kepada program akademik yang dijayakan secara bersama oleh YPPB dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu akan menitik-beratkan aspek kemampuan berkomunikasi dan berfikir bagi memastikan pelajar terpilih lebih bersedia dalam alam kerjaya.

"Kerajaan sedar di negara ini terdapat ramai pelajar pintar, namun tidak berpeluang menggarap potensi dalam bidang akademik disebabkan wujudnya kekangan persekitaran seperti kemiskinan dan tiada akses kepada kemudahan pembelajaran.

"Dengan adanya YPPB, kerajaan bertekad memastikan kesulitan hidup tidak menjadi penghalang bagi anak-anak bumiputera melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Biasiswa Peneraju Tunas Geliga di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPPB, Raja Azura Raja Mahayudin dan Pengerusi Yayasan Pintar, Tan Sri Arshad Ayub.

Menurut Nor Mohamed, pendidikan amat penting bagi meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga ke arah membasmi kemiskinan selain mampu menjamin masa depan yang lebih cerah.

Katanya, penubuhan YPPB sejak November tahun lalu juga merupakan salah satu janji yang ditepati kerajaan kepada rakyat dalam membantu memartabatkan pendidikan ke peringkat tertinggi.

"Saya yakin program ini akan berjaya mewujudkan pelajar yang berpotensi menjadi tenaga kerja mahir dan berkualiti tinggi seperti kejayaan tiga program terdahulu yang dijayakan YPPB iaitu Peneraju Tunas Potensi, Peneraju Profesional dan Peneraju Skil," katanya.

Dalam pada itu, Nor Mohamed turut berharap pelajar yang terpilih memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberikan bagi memastikan mereka menjadi tenaga kerja berkualiti.

Sementara itu, Raja Azura memberitahu, pelajar yang berminat boleh memohon biasiswa tersebut secara dalam talian di peneraju.edu.com. menggunakan keputusan percubaan UPSR mulai 29 Oktober ini.

"Memandangkan keputusan sebenar UPSR belum diumumkan, kita akan menggunakan keputusan percubaan untuk kumpulan pertama tahun ini yang mana pelajar yang mendapat keputusan 3A 2B ke atas dan aktif dalam aktiviti kokurikulum layak memohon," katanya.

Dalam pada itu, katanya, YPPB sehingga kini berjaya mengumpul dana sebanyak RM150 juta hasil sumbangan syarikat-syarikat korporat untuk memperkasakan pendidikan golongan bumiputera di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment