My Add

Friday 23 November 2012

2,020 ibu tunggal saman RM10.9 juta
 
 *KAMARUDIN Ahmad (tengah) berbincang sesuatu bersama sebahagian daripada 2,020 ibu tunggal termasuk Murtini Kasman (tiga dari kanan) di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS 
SHAH ALAM, KHAMIS, 22 November, 2012: Sebanyak 2,020 ibu tunggal hari ini mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri Selangor bagi menuntut tunggakan elaun bulanan berjumlah RM10.9 juta yang dijanjikan dalam manifesto pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu.

Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Kamarudin & Partners bagi pihak kesemua ibu tunggal berkenaan yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 9.20 pagi ini.

Mereka selaku pihak plaintif menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP defendan pertama manakala Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri defendan kedua.

Dalam saman tersebut, plaintif mendakwa, defendan pertama telah berjanji kepada rakyat Selangor termasuk mereka untuk memberi elaun bulanan kepada ibu tunggal sekiranya defendan pertama memenangi pilihan raya umum 2008.

Menurut mereka, berdasarkan manifesto defendan pertama itu, setiap ibu tunggal di Selangor layak menerima elaun daripada defendan pertama.

Pihak plaintif meletakkan setinggi harapan ke atas manifesto defendan pertama sebagai tempat pembelaan kebajikan hidup mereka melalui elaun yang dijanjikan kepada ibu tunggal tetapi sehingga kini kerajaan negeri gagal mewujudkan satu skim untuk membayar elaun kepada ibu tunggal.

Dakwa mereka lagi, defendan kedua telah menyalahgunakan kuasanya apabila tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan defendan pertama membuat bayaran kepada mereka dan golongan ibu tunggal di Selangor.

Oleh itu, pihak plaintif menuntut sebanyak RM100 sebulan bagi setiap 2,020 ibu tunggal itu bagi tempoh 54 bulan (1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012) menjadikan jumlah kesemua tuntutan mencecah RM10.9 juta daripada defendan pertama selain daripada kos.

Mereka juga memohon suatu perintah mengkehendaki defendan pertama mewujudkan satu skim dikenali sebagai Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor yang mempunyai garis panduan antaranya ialah bayaran elaun minimum adalah RM100 sebulan, mengadakan borang permohonan bayaran elaun ibu tunggal dan kaedah mendapatkan serta memulangkan borang permohonan.

Yang turut dituntut ialah suatu perintah yang mengkehendaki defendan pertama dan kedua melantik sebuah jabatan atau agensi defendan pertama menguruskan Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor.

Selain itu, pihak plaintif memohon deklarasi takrifan ibu tunggal ialah wanita berusia 18 tahun yang telah bercerai, balu, wanita pencari nafkah kepada keluarga, hidup berjauhan dari suami dan di dalam keadaan 'gantung tidak bertali'.

Sementara itu, peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili pihak plaintif memberitahu pemberita, kesemua ibu tunggal itu datang dari 11 kawasan Parlimen iaitu Shah Alam, Tanjong Karang, Hulu Langat, Kota Raja, Klang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Subang, Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

Jelasnya lagi, pada awal Disember depan dan penghujung tahun ini, dua lagi kumpulan ibu tunggal akan membuat tuntutan yang sama terhadap kedua-dua defendan.

Murtini pula berkata, beliau mewakili ibu tunggal seluruh Selangor berasa kecewa dengan kerajaan Selangor yang hanya memandang mudah janji yang telah mereka nyatakan dalam manifesto PRU-12 empat tahun lalu.

"Abdul Khalid jangan menganggap ibu tunggal sebagai insan yang lemah, tidak berpengetahuan dan boleh terus dibohongi," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment