My Add

Friday 23 November 2012

Denda RM10 juta dedah dokumen pelanggan bank

KUALA LUMPUR, KHAMIS. 22 November, 2012: Mereka yang didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat pelanggan mana-mana institusi kewangan kepada pihak lain boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya sekali sebaik sahaja Rang Undang-Undang Perkhidmatan Kewangan 2012 mula dikuatkuasakan.

Rang undang-undang itu telah dibentang untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin di Dewan Rakyat hari ini.

Secara umumnya rang undang-undang itu memperuntukkan bahawa seseorang yang mempunyai akses kepada apa jua dokumen atau maklumat berhubung akaun mana-mana pelanggan di mana-mana institusi kewangan dilarang mendedahkannya kepada orang lain.

Yang dimaksudkan pihak yang mempunyai akses itu termasuk institusi kewangan itu sendiri atau mana-mana orang yang pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan tersebut.

Larangan itu terkandung di bawah Seksyen 133 rang undang-undang itu yang menyebut secara khusus berhubung soal kerahsiaan.

Namun, rang undang-undang itu ada memberi pengecualian terhadap apa-apa dokumen atau maklumat berhubung hal ehwal atau akaun mana-mana pelanggan bagi sesuatu institusi kewangan.

Pengecualian itu merangkumi maklumat yang didedahkan kepada bank oleh mana-mana pegawainya atau mana-mana orang yang dilantik di bawah rang undang-undang tersebut atau Akta Bank Negara 2009.

Selain itu, pengecualian turut diberikan kepada mana-mana dokumen atau maklumat yang dibenarkan secara bertulis oleh pelanggan, wasi atau pentadbir pelanggan kepada pihak yang dibenarkan oleh mereka.

Pengecualian juga diberikan jika pelanggan diisytiharkan bankrap di Malaysia atau di mana-mana negara, wilayah atau di luar Malaysia.

Maklumat dan dokumen berkaitan pelanggan terbabit boleh didedahkan kepada sesiapa yang perlu mengetahui status kebankrapannya.

Rang undang-undang tersebut bertujuan menggabungkan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989; Akta Insurans 1996; Akta Sistem Pembayaran 2003 dan Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment