My Add

Friday 23 November 2012

Perlu berani tolak keganasan
 
 *NAJIB Tun Razak bersama Rosmah Mansor, Dr. Mahathir Mohamad dan Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta Datuk Seri Rais Yatim bergambar bersama kanak-kanak dari pelbagai negara yang memegang Piagam Kanak-kanak Mengenai Jenayah Perang pada majlis makan malam sempena Persidangan Antarabangsa Criminalise War di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/GHAZALI BASRI

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masyarakat antarabangsa perlu memiliki keberanian untuk menolak apa jua bentuk keganasan yang berlaku di mana-mana sahaja.

Tegas Perdana Menteri, hal ini kerana keganasan khususnya peperangan tidak mendiskriminasi sesiapa termasuk kanak-kanak dan orang yang tidak bersalah.

“Tiada diskriminasi dalam perang. Sama ada serangan bom peluru berpandu atau bom jalanan, senjata dalam peperangan tidak mendiskriminasi. Kita lihat penderitaan di Gaza. Kita lihat pula di Afghanistan dan kita lihat di Congo apabila puak pemberontak menculik kanak-kanak.

“Oleh itu kita perlu ada keberanian untuk menolak keganasan yang memberi kesan kepada sesiapa dan berlaku di mana-mana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Mangsa Peperangan anjuran Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini malam ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri yang juga Pengasas dan Pengerusi KLFCW, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Pengasas Kelab Jenayah Perang, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak RM1 juta yang diusahakan Rosmah sejak 2008 kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin yang diwakili Dr. Mahathir.

Pada majlis sama, Dr. Siti Hasmah melancarkan Kelab Jenayah Perang yang bertujuan mendidik pelajar sekolah berhubung jenayah perang.

Najib, Rosmah, Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah turut menandatangani Piagam Kanak-Kanak mengenai Jenayah Perang yang dibacakan kanak-kanak mewakili beberapa buah negara.

Perdana Menteri berkata, setiap tahun dunia akan didengarkan dengan kisah kanak-kanak berdepan pelbagai konfrontasi yang tidak dapat dibayangkan.

“Ahli keluarga dihalau keluar dari rumah kerana konflik (perang), terpisah dan ada yang tidak dapat bertemu kembali," jelasnya.

Berhubung gencatan senjata di Gaza, beliau bersama pemimpin dunia melahirkan harapan agar sekatan terhadap penduduk di wilayah itu dapat dihentikan bagi membolehkan rakyat Palestin menikmati hak kehidupan sebenar.

“Selepas ini, kita perlu memikirkan penyelesaian jangka panjang. Ini adalah masa untuk menghentikan keganasan. Kita harus memfokuskan kepada proses perdamaian di Asia Barat dan memastikan rantau berkenaan aman dan stabil," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment