My Add

Thursday 22 November 2012

Ahli Pas mula sangsi Anwar dilantik PM

KUALA LUMPUR,  21 November, 2012: Keputusan Pas untuk mencadangkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Perdana Menteri membuktikan parti itu sudah mula sangsi dengan kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memegang jawatan tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan itu merupakan satu bentuk protes secara senyap kerana ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi tidak mahu seorang pemimpin yang sudah terpalit dengan masalah moral dan berfahaman pluralisme itu memimpin negara.

Kata beliau, tindakan tersebut sekali gus membuktikan wujudnya kecelaruan perpaduan dalam pakatan pembangkang.

"Saya yakin ramai ahli Pas mula percaya Anwar ada masalah moral dan tidak boleh jadi Perdana Menteri.

"Ini hanya lakonan politik semata-mata untuk menunjukkan mereka berpadu walaupun pada hakikatnya perpaduan mereka tidak seperti digambarkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kemelut pelantikan Perdana Menteri itu mula timbul apabila akar umbi Pas dalam muktamar tahunannya baru-baru ini mendesak Abdul Hadi dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan jelas menolak cadangan yang mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri.

Mohd. Puad berkata, pakatan pembangkang turut mengalami kecelaruan pemimpin apabila tidak ada gambaran siapa menjadi ketua mereka apatah lagi untuk mencari kesepakatan dalam pelantikan Perdana Menteri.

"Kalau dalam sistem parti pun tidak demokratik, macam mana mahu pilih Perdana Menteri secara demokratik dalam kalangan mereka.

"Saya yakin apa yang berlaku dalam Muktamar Pas baru-baru ini kerana ada tanda-tanda tidak wujud persefahaman dan saling percaya.

"Mereka boleh diumpamakan seperti perkahwinan gay sebab kita tidak tahu siapa 'ibu' atau 'bapa' mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment