My Add

Friday 16 November 2012

Anwar perlu ingat pesan Nabi

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
 KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 November, 2012: ''Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada umatnya bahawa orang yang sewenang-wenangnya mentafsir al-Quran tanpa ilmu, maka dia sedang menempah kerusi di dalam neraka,'' tegas Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad (gambar).

Menurut beliau, golongan yang dimaksudkan Nabi Muhammad itu merupakan mereka tidak takut kepada ajarannya tetapi hanya takut sekiranya kuasa untuk menawan sesuatu hilang.

Jelas beliau, contoh terdekat golongan seperti ini ialah bekas rakannya sendiri iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

''Saya tahu Anwar dan Nurul Izzah bukannya golongan yang benar-benar mempunyai latar belakang agama hebat, maka kenyataan keluar oleh mereka tentang Islam tidak berlandaskan kepada mana-mana ulama, mufti mahupun Majlis Fatwa,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan orang Melayu supaya berwaspada dan menilai semula kedudukan supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan dakyah oleh pemikiran bebas, liberalisme atau pluralisme yang boleh merosakkan akidah seseorang dan seterusnya menjadi syirik.

Ismail Mina seterusnya meminta masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini memandang serius terhadap peringatan dan amaran Sultan Selangor terutama rakyat negeri tersebut.

Jelasnya, titah Sultan Sharafuddin itu merupakan amaran kepada masyarakat awam bahawa agama Islam yang dipegang oleh umat Islam adalah agama diiktiraf oleh Perlembagaan dan bukan berbentuk dasar yang dirangka ahli politik.

''Mereka yang suka memutar belit tentang agama Islam ini adalah golongan hanya berani bercakap di hadapan bukan Islam dan orang Islam kurang arif tentang Islam. Kalau betul Nurul Izzah kata kenyataannya benar, maka saya mahu beliau bercakap di hadapan intelektual Islam pula,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa menasihatkan masyarakat Islam dan Melayu di negara ini supaya berbalik semula kepada pendidikan awal agama yang diajar semasa zaman persekolahan dahulu.

Katanya, ketika itu pengajaran agama Islam adalah berlandaskan kepada al-Quran dan sunnah yang benar-benar sahih mengikut ajaran Islam.

''Kalau betul-betul faham tentang pendidikan agama Islam, kita tidak akan terpengaruh dengan apa juga interpretasi yang salah oleh pihak-pihak tertentu.

''Kita sememangnya perlu bersedia bahawa ada golongan yang akan menyalahgunakan hukum-hakam Islam untuk kepentingan diri dan pihak tertentu. Namun, kita kena teguh iman, peka, jangan mudah terikut dan terpengaruh," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment