My Add

Sunday 18 November 2012

Childline Malaysia bakal wujudkan laman web

KUALA LUMPUR, AHAD, 18 November, 2012: Perkhidmatan Childline Malaysia (Childline), talian khas yang diwujudkan untuk membolehkan kanak-kanak dalam kesusahan mendapatkan bantuan akan diperluas ke medium laman web mulai Jun tahun hadapan.

Pengerusinya, Sabri Abdul Rahman berkata laman web yang kini dalam proses ujian itu akan memberi peluang kepada kanak-kanak yang tidak boleh berkomunikasi secara normal melalui panggilan telefon, membuat aduan.

"Sejak diperkenal pada 2010, Childline hanya mempunyai talian telefon dan ini menyukarkan sedikit kanak-kanak yang mengalami kekurangan seperti masalah pendengaran. Dengan adanya laman web ini perkhidmatan Childline akan lebih luas dan mudah.

"Ada juga kanak-kanak yang kurang selesa berkomunikasi secara lisan untuk mengajukan aduan mereka kerana merasakan ia terlalu peribadi, jadi laman web ini akan cukup membantu,” katanya kepada pemberita pada Forum Perlindungan Kanak-Kanak di sini hari ini.

Forum bertemakan ”Be The Change And Speak Up” yang julung kali diadakan itu dianjur dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sime Darby Berhad dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef).

Sementara itu, Sabri berkata, Childline Malaysia yang boleh dihubungi melalui talian 15999 merekodkan 4,564 aduan dari seluruh negara tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 1,597 adalah aduan khusus berkaitan penderaan dan keganasan terhadap kanak-kanak manakala bakinya berkaitan isu kebajikan serta meminta khidmat nasihat. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment