My Add

Wednesday 21 November 2012

Dagangan berhati-hati tarik turun harga saham KL

KUALA LUMPUR, RABU, 21 November, 2012: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan dagangan berhati-hati dan kekurangan permintaan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang perlahan, kata seorang peniaga.

Semasa ditutup, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.23 mata kepada 1,622.97.

Seorang peniaga berkata para pelabur teragak-agak membuat belian yang besar kerana menunggu petunjuk pasaran yang jelas sebelum membuat sebarang keputusan.

Sentimen berhati-hati itu juga berikutan kemunculan berita bahawa Menteri Kewangan zon Euro gagal menangani isu hutang Greece.

Keseluruhan pasaran dicatatkan negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 349 kepada 275 manakala 360 kaunter Tidak berubah, 664 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.03 bilion saham bernilai RM1.59 bilion berbanding 1.02 bilion saham bernilai RM1.69 bilion pada Selasa.

Indeks Kewangan turun 1.7 mata kepada 15,015.68, Indeks Perusahaan merosot 5.77 mata kepada 2,779.25 dan Indeks Perladangan rugi 14.78 mata kepada 7,925.85.
Indeks FBM Ace meningkat 22.34 mata kepada 4,258.98 manakala Indeks FBM Emas turun 12.55 mata kepada 11,084.43 dan Indeks FBMT100 rugi 13.40 mata kepada 10,919.95. Indeks FBM Mid 70 turun 39.03 mata kepada 12,198.17.

Di kalangan kaunter aktif, Karambunai Corp meningkat 1.5 sen kepada 15.5 sen, KNM Group-Wa meningkat 1.5 sen kepada 11.5 sen dan KNM Group naik 2.0 sen kepada 50 sen.

Di kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun 3.0 sen kepada RM9.01 manakala Sime Darby meningkat 1.0 sen kepada RM9.54 dan CIMB menambah 3.0 sen kepada RM7.70.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 863.70 juta unit bernilai RM1.55 bilion berbanding 840.75 juta unit bernilai RM1.67 bilion pada Selasa.

Perolehan di Pasaran ACE turun kepada 76.44 juta saham bernilai RM15.96 juta berbanding 86.18 juta saham bernilai RM17.57 juta sebelum ini.

Waran turun kepada 52.02 juta unit bernilai RM2.97 juta berbanding 90.41 juta unit bernilai RM4.94 juta pada Selasa.

Produk pengguna mencatatkan 43.31 juta saham di Pasaran Utama, produk perusahaan 200.18 juta, pembinaan 21.70 juta, dagang dan perkhidmatan 288.23 juta, teknologi 37.69 juta, prasarana 20.90 juta, kewangan 51.65 juta, hotel 735,400, hartanah 168.07 juta, perladangan 18 juta, perlombongan 266,900, REIT 9.54 juta dan tertutup/dana 3.43 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment