My Add

Monday, 12 November 2012

Dana RM5 juta untuk artis
 
*NAJIB menerima cenderahati daripada Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk D. J. Dave sambil diperhati oleh Dr. Rais Yatim pada majlis pelancaran Yayasan Artis 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, malam tadi.- UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
Oleh HUSSAINI AMRAN dan KAMIL MASLIH
KUALA LUMPUR, AHAD, 11 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak akan mencadangkan kepada Kabinet untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).

Perdana Menteri berkata, dana itu dicadangkan akan disalurkan sebanyak RM2 juta pada tahun ini dan RM3 juta lagi pada tahun hadapan untuk menjaga kebajikan para artis khususnya yang berstatus warga emas.

Selain itu, beliau turut meminta pihak industri membantu kerajaan menyelesaikan isu royalti yang dikatakan berat sebelah dan tidak adil kepada golongan artis.

''Kerajaan juga mahu melihat satu skim insurans perlindungan diwujudkan khusus bagi golongan seniman tanah air agar mereka tidak perlu lagi bergantung simpati orang ramai sekiranya jatuh sakit," katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran YA1M di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais serta Pengerusi YA1M, Datuk D. J. Dave.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan wang ihsan sumbangan YA1M sebanyak RM2,000 seorang untuk artis-artis kurang berkemampuan.

Dalam majlis berkenaan, kesemua 1,000 artis yang hadir melafazkan ikrar taat setia kepada Perdana Menteri sebelum majlis berakhir.

Tambah Najib, golongan artis diharap dapat bersama-sama kerajaan bagi meneruskan pelbagai usaha yang selama ini membela kepentingan para seniman.

"Mudah-mudahan dengan sokongan penggiat seni, kerajaan yang ada pada hari ini dapat kekal memimpin negara ke arah masa depan yang lebih baik.

"Kalau dalam cerita, kita suka melihat penghabisan yang menggembirakan. Kalau teruskan sokongan terhadap kerajaan sedia ada, saya janji akan memberi penghabisan menggembirakan untuk rakyat Malaysia termasuk golongan artis," ujarnya.

Sementara itu, Rais berkata, penubuhan yayasan tersebut merupakan pelengkap kepada usaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan para artis dalam mengangkat martabat seni negara.

"Usaha menerusi YA1M itu sudah pasti mewujudkan kesan positif dan amat bermakna kepada warga seni.

"Saya yakin yayasan itu akan berjuang demi kepentingan artis dan Insya-Allah, kementerian saya akan turut membantu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment