My Add

Friday, 23 November 2012

Doa Pas: Polis siasat secara adil

RANTAU PANJANG, KHAMIS, 22 November, 20122: Polis Diraja Malaysia menyiasat secara adil semua laporan yang diterima berhubung kes doa Pas yang mahu menghancurkan UMNO serta kenyataan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menggambarkan parti itu murtad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya turut memohon kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) bagi melicinkan siasatan.

Setakat ini, beliau memberitahu, lima laporan polis telah diterima di negeri ini dan pihaknya menjangkakan jumlah itu akan meningkat berikutan beberapa aduan turut dibuat di negeri lain.

"Polis Kelantan dijangka menerima semua laporan mengenai perkara sama yang dibuat di negeri lain.

"Pihak kami juga akan meminta bantuan JHEAIK," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jalaluddin ditanya mengenai perkembangan terkini berhubung beberapa laporan polis yang dibuat oleh orang awam di seluruh negara mengenai isu tersebut.

Pelbagai bantahan telah dikemukakan di seluruh negara berikutan tindakan adik Nik Abdul Aziz, Nik Razi pada Jumaat lalu yang mendoakan kehancuran UMNO ketika memimpin bacaan doa di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Kemarahan yang telah tercetus di kalangan ahli-ahli UMNO itu semakin membara apabila Nik Abdul Aziz sendiri pada Muktamar Pas ke-58 menggambarkan UMNO parti murtad kerana memperlekehkan Islam.

Nik Abdul Aziz kemudian dilaporkan berkata, doa tersebut tidak salah memandangkan sebagai parti yang menolak Islam, UMNO tidak perlu dimuliakan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment