My Add

Friday 23 November 2012

PBB, Myanmar rayu bantuan RM126 juta untuk Rakhine

NEW YORK, KHAMIS, 22 November, 2012: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Myanmar merayu dana tambahan sebanyak AS$41 juta (RM126 juta) sebagai sebahagian daripada semakan pelan tindak balas untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada kira-kira 115,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan etnik di negeri Rakhine, barat Myanmar.

Penyelaras Kemanusiaan PBB di Myanmar, Ashok Nigam berkata, sumbangan tersebut perlu bagi menyediakan tempat tinggal sementara, bekalan air bersih, makanan dan penjagaan kesihatan.

"Berpuluh-puluh ribu penduduk Rakhine kini hidup dalam keadaan daif dan sangat memerlukan bantuan," katanya ketika melancarkan semakan pelan tindak balas itu di Yangon, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat PBB di New York.

Menurut pejabat PBB bagi Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan, pelan tindak balas itu pada mulanya meletakkan angka berjumlah AS$32.5 juta (RM99.8 juta) untuk membiayai bantuan sepanjang Julai sehingga Disember tahun ini.

Namun, agensi itu telah meningkatkannya kepada AS$67.6 juta (RM207.6 juta) bagi menampung perbelanjaan untuk tempoh Julai 2012 sehingga Jun 2013 dan setakat ini mereka telah menerima sumbangan sebanyak AS$27 juta (RM82.9 juta).

Keganasan etnik di utara Rakhine yang bermula pada Jun lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 89 orang awam maut, beratus-ratus kediaman rosak dan kira-kira 75,000 orang hilang tempat tinggal.

Ketika pelancaran semakan pelan tindak balas itu, PBB dan pertubuhan-pertubuhan awam turut mengulangi komitmen mereka membantu penduduk Rakhine, sambil menegaskan bantuan kemanusiaan disediakan berpandukan prinsip keadilan, berkecuali dan perikemanusiaan.

"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dan masyarakat Myanmar untuk memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang memerlukan dan kepada kedua-dua pihak bertelagah," kata mereka. - AGENSI

No comments:

Post a Comment