My Add

Monday 26 November 2012

Isa  Sabu yakin industri halal terus melonjak di rantau IMT-GT

KANGAR, AHAD, November, 2012: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yakin industri halal bakal melonjak di rantau pertumbuhan segitiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) berikutan minat penduduk rantau itu terhadap produk halal.

Katanya, pertumbuhan pusat halal akan menyemarakkan industri halal yang semakin berkembang.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Halal Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kawasan Industri MARA (KIM) Kuala Perlis di sini, hari ini, Md Isa berharap usahawan Bumiputera mengambil kesempatan terhadap permintaanp produk halal dengan berusaha menembusi pasaran antarabangsa.

Menurutnya, walaupun kejayaan menembusi pasaran antarabangsa adalah satu pencapaian, pencapaian itu lebih bermakna jika mereka menguasai pasaran.

Md Isa berkata, Pusat Halal MARA Kuala Perlis juga akan turut menjadi pemangkin industri kawasan Kuala Perlis yang bakal menjadi bandar maritim.

Pelaksanaan pusat halal itu adalah hasil kerjasama Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dengan MARA yang telah lama terjalin.

Menurutnya, pasaran global produk halal dianggarkan RM6.9 trilion setahun dan jumlah permintaan akan terus bertambah berdasarkan bertambahnya penduduk Islam dunia kepada lebih 1.8 bilion.
Produk halal juga kini berjaya memikat negara bukan Islam termasuk China, Jepun dan Rusia.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad berkata, melalui pusat halal itu, para usahawan Bumiputera diberi peluang untuk memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.

Sebanyak 60,000 usahawan yang bernaung di bawah MARA yang diharap mampu memberi impak besar terhadap industri halal.

Sempena pelancaran itu, berlangsung KIMfest Kuala Perlis selama tiga hari bagi memasarkan produk usahawan Bumiputera.  - BERNAMA

No comments:

Post a Comment