My Add

Friday 23 November 2012

Kompleks baru Suruhanjaya Tinggi Malaysia

ISLAMABAD, KHAMIS, 22 November, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan kompleks baru Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan berharga RM77 juta dalam satu majlis ringkas di sini hari ini.

Beliau menyifatkan kompleks baru itu yang dilancarkan pembinaannya pada 8 Julai 2009 sebagai satu kebanggaan kepada negara.

Kompleks itu mengandungi dua blok iaitu blok A menempatkan Canseri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Rumah Malaysia manakala blok B pula kediaman pegawai-pegawai seramai 40 orang.

Muhyiddin merasmikan kompleks itu sempena kehadiran beliau bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) yang berlangsung hari ini.

Ketika berucap pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri berharap, dengan adanya bangunan baru itu membolehkan para petugas meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan mereka agar dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua negara.

“Kita boleh kembangkan usaha sama dengan Pakistan terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, perniagaan, pendidikan dan pelancongan.

“Taraf kerja perlu ditingkatkan sejajar dengan usaha kerajaan yang menumpukan usaha untuk mentransformasikan negara mencapai tahap sebuah negara maju pada 2020," katanya.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi Pakistan, Dr. Arbab Alamgir Khan yang bertindak sebagai menteri pengiring; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia (Hubungan Pelbagai Hala), Datuk Selwn Das dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Dr. Hasrul Sani Mujtabar serta pegawai-pegawai kedutaan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, untuk merealisasikan wawasan negara itu, hubungan antarabangsa perlu diberi keutamaan dengan negara-negara luar agar matlamat tersebut tercapai. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment