My Add

Friday 23 November 2012

Malaysia alu-alukan gencatan senjata di Gaza

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Palestin di Gaza serta mendesak kedua-dua pihak mematuhi perjanjian itu.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia juga mendesak supaya sebarang sekatan di wilayah bergolak itu ditarik balik termasuk menghentikan serangan yang mampu mengancam harta benda dan nyawa.

''Kita menghargai usaha semua pihak yang membantu dalam memastikan perjanjian gencatan senjata itu. Khususnya kita memuji (usaha) Mesir dan Presidennya, Dr. Mohammed Morsi yang menunjukkan kepimpinan dalam menggerakkan gencatan senjata.

''Begitu juga kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najib mengulas mengenai gencatan senjata Israel dan Palestin hasil diplomasi yang diusahakan Mohammed Morsi.

Dilaporkan Mesir, Turki dan Iran antara tiga buah negara yang berjaya menekan Israel supaya berhenti membedil Gaza dan mengadakan gencatan senjata itu.

Najib berkata, hasil daripada gencatan senjata tersebut, fokus kini seharusnya menjurus kepada proses perdamaian di Asia Barat.

Jelasnya, hal itu bagi memastikan wilayah berkenaan stabil dan bebas daripada sebarang konflik.

''Semua pihak mesti menggandakan usaha untuk mewujudkan negara Palestin berasaskan penyelesaian dua negara selain memberikan harapan kepada rakyat Palestin untuk menikmati kehidupan yang baik serta keamanan yang berpanjangan,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment