My Add

Friday 9 November 2012

Malaysia-Indonesia sangat istimewa - Tun Mahathir

JAKARTA, KHAMIS, 08 November, 2012: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, masalah yang sering tercetus antara Malaysia dan Indonesia bukan suatu hal yang seharusnya dibesar-besarkan sehingga mencetuskan kontroversi atau polemik.

Menurut beliau, perbezaan pendapat bagi dua negara berjiran merupakan suatu hal yang biasa dan harus diterima.

"Sebagai jiran, biasalah selalu ada masalah. Kecuali kalau kita tinggal di sebelah Selatan Amerika sana," ulas Dr. Mahathir dalam nada berseloroh ketika menjawab soalan seorang peserta pada sesi soal jawab selepas menyampaikan kuliah di Universiti Mercu Buana di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzarudin Syed Hassan.

Tidak ketinggalan Ketua Yayasan Harapan Kita Siti Hardianti Rukmana yang juga anak kepada bekas Presiden kedua Indonesia, Suharto.

Dr. Mahathir yang diminta mengulas mengenai hubungan Malaysia dan Indonesia yang sering menyaksikan pasang dan surut menegaskan, setiap masalah yang tercetus seharusnya diselesaikan secara bijaksana.

Kata bekas Perdana Menteri itu lagi, Malaysia dan Indonesia memiliki hubungan yang sangat istimewa dalam pelbagai aspek merangkumi politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Kerana itu, jelas Dr. Mahathir, setiap masalah harus dibawa ke meja rundingan diplomatik, bukannya dibawa ke jalanan.

"Kerana itu, Malaysia sentiasa menyimpulkan kalau ada sekalipun demonstrasi jalanan seperti yang sering berlaku, ia tidak mewakili semua 230 juta rakyat Indonesia.

"Jangan besar-besarkan hal seperti ini kerana kita ada hubungan diplomatik yang sangat baik," kata Dr. Mahathir.

Pada sesi soal jawab itu juga, seorang peserta bertanyakan Dr. Mahathir apakah yang akan dilakukan tokoh itu seandainya beliau dipilih sebagai Presiden Indonesia pada Pilihan Raya Umum pada 2014.

Menurut Dr. Mahathir, adalah menjadi kebanggaan seandainya rakyat Indonesia memilih beliau untuk menerajui negara itu.

Namun begitu, pada usia yang sudah mencecah 87 tahun, seharusnya peluang dan tugas itu diberikan kepada generasi muda untuk memimpin Indonesia.

"Saya bukannya muda lagi. Saya percaya setiap seorang pemimpin itu akan bekerja keras untuk rakyatnya. Pada masa sama, rakyat juga harus turut membantu dan memahami tugas-tugas seorang pemimpin," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment