My Add

Friday 9 November 2012

RTC rancakkan ekonomi luar bandar

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 November, 2012: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) merupakan program komprehensif dalam mengimbangi pembangunan luar bandar dengan pembangunan bandar, bukan setakat infrastruktur asas malahan peningkatan ekonomi masyarakat luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (gambar) berkata, oleh itu masyarakat luar bandar perlu menyedari ruang yang disediakan dan seterusnya menyertainya secara aktif kerana manfaat yang bakal diperoleh cukup besar.

''Kerajaan berpendapat pembangunan luar bandar tidak cukup setakat membina jalan, rumah dan menyediakan bekalan air dan elektrik. Perlu ada kegiatan ekonomi supaya masyarakat luar bandar mempunyai keupayaan ekonomi untuk bergerak maju.

''Oleh itu RTC dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pelengkap kepada pembangunan luar bandar iaitu memastikan bukan setakat dapat diimbangkan jurang pembangunan antara luar bandar dan bandar, malahan mengaktifkan kegiatan ekonomi luar bandar yang agak perlahan,'' katanya semasa ditemu bual dalam rancangan MHI, TV3 hari ini menjelang perasmian RTC Melaka oleh Perdana Menteri Sabtu ini.

Mohd. Shafie berkata, tumpuan pembangunan ekonomi luar bandar perlu supaya belia luar bandar diberi ruang dan peluang yang sebaik mungkin supaya mereka tidak perlu berhijrah ke bandar yang semua tahu mempunyai pelbagai tekanan seperti perumahan, pengangkutan dan kos sara hidup yang lebih tinggi.

Jadi RTC, katanya, mencetuskan pembangunan di luar bandar termasuk peluang pekerjaan, latihan serta keusahawanan dan ia pelengkap kepada Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang mengandungi lapan inisiatif.

Beliau menambah, RTC menyediakan pelbagai inisiatif sehingga ia merupakan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai maklumat dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar khususnya dalam lingkungan 100 kilometer dari RTC.

Antara kemudahan yang disediakan ialah tempat pengumpulan dan penjualan hasil tani, ternakan dan perikanan; pelbagai perkhidmatan kaunter kerajaan; perbankan dan kemudahan latihan khususnya untuk belia.

Berhubung sambutan kepada dua RTC yang telah dilancarkan iaitu di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh di Kelantan, Mohd. Shafie berkata, ia begitu memberangsangkan apabila perolehan jualan di RTC Perak misalnya mencecah RM59 juta manakala di Kelantan, hampir RM250 juta melibatkan hampir 3 juta pengunjung.

Mengenai RTC Melaka yang akan dilancarkan Sabtu ini, Mohd. Shafie berkata, tempias manfaatnya akan sampai sehingga ke Negeri Sembilan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment