*MUHYIDDI Yassin ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Ekonomi China Sedunia Keempat (WCEF) di Pusat Konvensyen Melbourne, semalam. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengadakan lawatan kerja rasmi selama sembilan hari ke Australia sehingga 18 November ini. - BERNAMA |
MELBOURNE, ISNIN, 12 November, 2012: Malaysia terus menjadi tumpuan para peneraju perniagaan berketurunan Cina dari seluruh dunia kerana rakyat Malaysia sangat memahami nilai dan etika perniagaan orang Cina.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usahawan-usahawan berketurunan Cina dari China, Thailand, Indonesia, Amerika Syarikat, Singapura, Filipina, Australia serta negara-negara lain turut memilih Malaysia sebagai pusat pemasaran produk dan perkhidmatan mereka ke negara lain.
Menurut Muhyiddin, mereka ke Malaysia bukan untuk berniaga dengan masyarakat berketurunan Cina sahaja tetapi dengan seluruh rakyat Malaysia yang memahami etika-etika serta nilai perniagaan orang Cina.
''Rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bahasa menjadi jambatan penghubung kepada usahawan mereka untuk berniaga dengan negara lain khususnya negara yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi utama selain India dan Asia Barat.
''Bukan itu sahaja, Malaysia turut menjadi tumpuan golongan bukan ahli perniagaan sebagai destinasi pilihan untuk bercuti kerana sungguh mudah untuk berkomunikasi dengan rakyat Malaysia,"katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Ekonomi China Sedunia Keempat (WCEF) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Gabenor Victoria, Alex Chernov, Ketua Menteri negeri Victoria, Ted Baillieu, Penaung dan Pengasas Bersama WCEF, Tan Sri Liew Kim Yew, Pengerusi WCEF yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Michael Yeoh dan Presiden MCA yang juga Penaung WCEF, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.
Timbalan Perdana Menteri adalah dalam rangka lawatan kerja sembilan hari ke Melbourne, Brisbane dan Gold Coast bermula Sabtu lalu.
Menurut beliau, Malaysia sungguh bertuah kerana 24 peratus atau tujuh juta rakyatnya adalah berketurunan Cina yang boleh bercakap dialek Mandarin, Hokien, Kantonis, Haka, Teochew, Fuchow serta pelbagai lagi dialek Cina.
Malaysia juga kata beliau, satu-satunya negara di luar China yang mempunyai sistem pendidikan berbahasa Mandarin.
"Malah terdapat ramai rakyat Malaysia bukan berketurunan Cina turut belajar di sekolah Cina.
"Dengan kata lain, Malaysia boleh menjadi penghubung kepada kira-kira 50 juta orang Cina seberang laut dan lebih 1.3 bilion warganegara China," katanya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, selain boleh berkomunikasi dengan baik dan memahami, hubungan perniagaan dalam bidang perdagangan dan pelaburan dapat diwujudkan kerana jumlah rakyat Malaysia berketurunan Cina agak besar jumlahnya.
Beliau menamakan Tan Sri Robert Kuok sebagai contoh salah seorang rakyat Malaysia yang terkenal dengan empayar perniagaannya merentasi Asia Tenggara dan China.
Apa yang menariknya kata Muhyiddin, Robert Kuok adalah satu dalam seribu rakyat Malaysia berketurunan Cina yang berjaya di tanah air sendiri sebelum memperluaskan perniagaan di seberang laut.
Mengenai forum tersebut yang pertama kali diadakan di luar Malaysia, Muhyiddin berkata, forum itu memberi peluang kepada ahli-ahli perniagaan menjalin hubungan kukuh dengan orang Cina seberang laut dari seluruh dunia.
Kata beliau, ada yang melihat orang Cina seberang laut ada hubungan dengan orang China tanah besar tetapi ramai yang terlepas pandang bahawa hubungan yang sama juga penting iaitu hubungan masyarakat berketurunan Cina seberang laut di negara lain.
Menurut Muhyiddin perkara ini dapat dilihat dengan jelas di negara ASEAN yang didiami oleh lebih 60 peratus penduduk Cina seberang laut.
"Sejarah menunjukkan bahawa walau pun sebelum diwujudkan hubungan rasmi antara negara, perdagangan di kalangan masyarakat Cina seberang laut sudah wujud.
''Pada zaman dulu, mana-mana orang Cina yang baru tiba di satu-satu tempat hanya perlu pergi ke mana-mana 'Chinatown' untuk mendapatkan bantuan dari segi tempat tinggal, pekerjaan dan malah akses mendapatkan kredit."
"Pada zaman sekarang ini, orang ramai tidak lagi ke Chinatown untuk mencari pekerjaan. Sebaliknya, mereka berjalan ke mana-mana Dewan Perniagaan Cina bagi mencari hubungan perniagaan dan peluang," katanya.
Pada forum itu, Muhyiddin telah dianugerahi Anugerah Khas Penaung "Murah Hati" sebagai menghargai sokongannya terhadap komuniti China. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment