My Add

Sunday 11 November 2012

Minta sokongan bina rumah generasi baharu

*SEBAHAGIAN generasi baharu Felda bersorak gembira dengan pengumuman durian runtuh fasa ketiga oleh Perdana Menteri dalam Program Himpunan Generasi Baharu Felda di UiTM Shah Alam, Selangor, semalam.

SHAH ALAM, SABTU, 10 November, 2012: Kerajaan-kerajaan negeri diminta memberikan kerjasama dan sokongan penuh terhadap usaha Felda melaksanakan pembinaan 20,000 unit rumah di bawah Projek Perumahan Generasi Baharu Felda di seluruh negara.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, kerjasama kerajaan negeri sangat penting terutama melibatkan urusan penukaran syarat tanah bagi merealisasikan hasrat menyediakan perumahan terbaik kepada generasi baharu tanah rancangan itu.

Justeru beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri agar dapat mempermudahkan proses pembinaan projek rumah generasi baharu Felda.

"Sasaran kita ialah untuk membina 4,000 rumah untuk generasi baru peneroka Felda setiap tahun, kalau lima tahun jumlahnya 20,000 unit rumah.

"Kita akan laksanakan projek ini secepat awal tahun depan. Buat masa ini kita sedang mengenal pasti tanah rancangan yang ada kira-kira 5,000 ekar (2,023.4 hektar) yang mana sebahagian besarnya digunakan untuk tanaman sawit dan sebagainya. Malah ada sebahagian tanah rancangan itu adalah milik kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Himpunan Generasi Baru Felda yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Isa berkata, rumah berkenaan akan dibina menggunakan konsep Sistem Pembinaan Industri (IBS) yang melibatkan kos lebih rendah berbanding sistem pembinaan konvensional selain mengambil masa yang singkat untuk disiapkan.

Beliau berkata, Felda telah mengenalpasti beberapa syarikat untuk melaksanakan projek tersebut dan pihaknya akan melaksanakan penilaian terhadap kos serta sistem yang dimiliki oleh syarikat-syarikat terbabit.

"Mengenai harga rumah, pada asasnya harga seunit berjumlah RM70,000 tidak termasuk nilai tanah. Namun, harga itu bergantung kepada permintaan generasi baharu Felda untuk memiliki bentuk rumah yang mereka inginkan.

"Harga tersebut juga bergantung dari segi kemampuan mereka untuk membuat pembayaran pinjaman perumahan kepada institusi kewangan.

"Selain projek perumahan generasi baharu Felda, kita turut mengadakan program lain kepada golongan berkenaan untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan mereka menerusi pertanian tanaman kontan yang dapat memberikan pulangan cepat seperti tembikai madu, salad dan cili," katanya.

Beliau memberitahu, generasi baharu Felda juga boleh melaksanakan kegiatan pertanian itu di kawasan tanah rumah mereka dan hasil produk pertanian kontan itu boleh digunakan untuk menampung pinjaman perumahan mereka.

Pada masa yang sama, Isa turut menyatakan pemberian 'durian runtuh' berjumlah RM563.17 juta kepada generasi baharu Felda merupakan sebahagian manfaat yang diperolehi hasil daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) berjumlah RM6 bilion di Bursa Malaysia.

"Pemberian itu merupakan sebahagian daripada penghargaan Felda terhadap pengorbanan dan jasa warga peneroka yang mana limpahannya kini dirasai oleh anak-anak mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment