Pelan tindakan dekati golongan muda, atas pagar
KUALA LUMPUR, RABU, 28 November, 2012: Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan tujuh pelan tindakan bagi mendekati golongan atas pagar yang majoritinya orang muda secara konstruktif supaya mereka tidak tercicir daripada arus perjuangan parti.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, antara pelan tindakan tersebut ialah cadangan menubuhkan Sekretariat IDEA yang dianggotai golongan wanita muda daripada pelbagai latar belakakang untuk bergerak sebagai sebuah badan bebas yang akan melaksanakan aktiviti lebih segar dan unik dengan golongan muda sebagai sasaran mereka.
Selain itu katanya, Puteri juga mencadangkan penubuhan sebuah skuad khas yang akan merencana dan melaksanakan aktiviti untuk mendekati golongan atas pagar terutama menjelang musim pilihan raya.
Cadangan lain kata beliau, menggiatkan aktiviti dan kempen jelajah ke seluruh negara bagi mempromosikan budaya politik bersih dan terpimpin sebagai usaha memerangi politik persepsi dan fitnah.
"Ini penting untuk memberi gambaran betapa Puteri UMNO sentiasa mendahulukan perjuangan agama dan bangsa sekalipun ianya perlu melalui jalan yang sukar," katanya dalam Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment