My Add

Sunday, 11 November 2012

Pemimpin Islam perlu sepakat dalam soal agama: Abdullah Md Zin

BESUT, AHAD, 11 November, 2012: Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, berkata pemimpin Islam di negara ini perlu sepakat dalam menjaga kepentingan agama Islam tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Katanya, tindakan sesetengah pemimpin politik yang mengetepikan kepentingan agama demi kedudukan politik dan menyebabkan kecelaruan berpanjangan dalam masyarakat amat dikesalkan.

"Amat dikesalkan kerana pemimpin PAS seperti Nik Aziz dan Haji Hadi tidak mahu memperbetulkan kenyataan yang dibuat Nurul Izzah dalam soalan kebebasan beragama selain turut menyokong dan mengatakan perkara itu tidak penting," katanya pada satu perjumpaan dengan media, di sini, hari ini.

Katanya, sebagai Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat jelas mengetepikan kepentingan Islam apabila menyokong Nurul Izzah sekalipun menyedari Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu melakukan kesalahan besar.

"Nik Aziz jika tahu perkara itu salah sepatutnya jangan keluar apa-apa pandangan dan lebih baik menjadi syaitan yang bisu daripada syaitan yang berkata-kata," katanya.

Beliau turut meminta Nurul Izzah memperbetulkan kenyataannya dan meminta maaf dengan mengakui tidak arif mengenai bidang agama.

Pada 3 November lalu, portal berita Malaysiakini melaporkan Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai berkata rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara itu juga patut terpakai kepada orang Melayu. 

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," katanya.

Nurul Izzah berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?' di Subang Jaya pada 3 November lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment