My Add

Friday 23 November 2012

Semua 12 ADUN BN Kedah keluar Dewan

ALOR SETAR: Sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini kecoh apabila Datuk Abu Hassan Sharif (BN-Kota Siputeh) diarah keluar kerana enggan mematuhi arahan Speaker Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Ini berlaku setelah Abu Hassan enggan berdiam diri walaupun diarah berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Lim Soo Nee (PKR-Kulim) yang tidak memberi peluang untuknya bercakap.

Lim dalam penggulungannya membangkitkan isu anak lelaki Abu Hassan yang didakwa menjawat jawatan gred N41 sebagai tidak wajar kerana jawatan itu tidak pernah wujud dalam Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia itu memberitahu dewan bahawa selepas diketahui bahawa pelantikan itu tidak wajar, anak Abu Hassan telah ditawarkan jawatan lebih rendah iaitu gred N17 jika masih mahu berkhidmat dengan MPKP, namun dia menolak.

Abu Hassan yang berang dengan kenyataan itu berkata beliau seharusnya diberi peluang untuk bercakap bagi menjelaskan perkara itu kerana ia melibatkan maruah anaknya.

Abu Hassan akhirnya diarahkan keluar dewan kerana enggan diam dan sebelum meninggalkan dewan beliau turut meminta semua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang lain bersamanya kerana menganggap tiada semangat demokrasi diamalkan dalam dewan itu.

Semua 12 ADUN BN serta Radzi Salleh (Bebas-Lunas) kemudiannya turut keluar dewan sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker itu.
Bagaimanapun, 12 ADUN BN itu dan Radzi kemudiannya masuk semula ke dalam dewan 15 minit kemudian kecuali Abu Hassan.

Sementara itu Abu Hassan memberitahu pemberita di luar dewan bahawa beliau berasa kecewa dengan arahan Speaker yang sepatutnya menjadi 'penyubur' demokrasi di dalam dewan.

"Kerajaan ini (kerajaan negeri Kedah) tidak bertanggung jawab dan tidak mengamalkan demokrasi. Mereka tak berani berdepan dengan rakyat, bila kita nak tanya soalan depa kata kita salah," kataNYA. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment