My Add

Monday 5 November 2012

Zaid Ibrahim letak jawatan Presiden KITA

 
PETALING JAYA, ISNIN, 05 November, 2012:: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) tetapi mendakwa beliau masih mengawal parti itu, lapor beberapa portal berita, hari ini.

Setiausaha parti, Masrum Dayat, dilaporkan mengambil alih jawatan presiden itu dan berkata Zaid telah menyerahkan surat peletakan jawatannya pada Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, beliau masih seorang ahli jawatankuasa pusat dan ahli biasa Kita,” katanya, sambil menambah bahawa Zaid menyatakan masalah kesihatan sebagai punca peletakan jawatannya, demikian lapor StarOnline.


Dalam laporan itu, Zaid ketika ditanya mengenai peletakan jawatan itu, beliau menjawab menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menyatakan “Ya”.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti KITA, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof berkata, surat peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai presiden parti diterima pada 1 November lalu atas sebab masalah kesihatan.

Beliau yang juga Pengerusi KITA Johor, berkata susulan surat peletakan jawatan itu, ahli Jawatankuasa Eksekutif KITA mengadakan mesyuarat pada 3 November lalu di Kota Bharu, Kelantan bagi membincangkan perkembangan terbaru itu.

Kini, katanya, KITA akan diterajui Setiausaha parti iaitu Masrum Dayat.
“Pada awalnya ahli Jawatankuasa Eksekutif meminta Datuk Zaid (Ibrahim) menimbang semula keputusan itu. Bagaimanapun, bagi menghormati keputusannya, kami menerima keputusan itu berdasarkan surat yang dihantar pada 1 November lalu,” katanya ketika dihubungi BH Online di sini, sebentar tadi. - BH

No comments:

Post a Comment